AM

Orang awam dinasihatkan peka, buat persediaan awal hadapi banjir

22/10/2021 12:10 AM

KUALA LUMPUR, 21 Okt -- Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) menasihatkan penduduk yang berada di kawasan rendah, menjadi 'hot spot' banjir serta berhampiran sungai agar sentiasa peka dan bersiap sedia menghadapi fasa peralihan monsun sehingga awal November ini.

Ketua Pengarahnya Datuk Nor Hisham Mohd Ghazali berkata berdasarkan laporan Jabatan Meteorologi Malaysia (METMalaysia), rantau negara ini akan menerima tiupan angin lemah dari pelbagai arah bagi kejadian ribut petir yang lazimnya membawa hujan lebat serta angin kencang dalam masa singkat.

"Hujan lebat ekstrem sebegini boleh menyebabkan banjir kerana sungai tidak dapat menampung kapasiti sebegitu dalam tempoh singkat dan akan melimpahi tebing, seterusnya menjejaskan kawasan penempatan rendah terutamanya.

"Orang ramai juga diingatkan tidak membuang sampah merata-rata dan menjaga persekitaran supaya aliran sungai tidak terhalang, lalu memburukkan lagi keadaan dan menyebabkan banjir," katanya dalam kenyataan hari ini.

Nor Hisham berkata JPS mengambil inisiatif melaksanakan projek Rancangan Tebatan Banjir (RTB) dan menyediakan Pelan Pengurusan Lembangan Sungai Bersepadu (IRBM), Pelan Induk Tebatan Banjir serta Pelan Induk Saliran Mesra Alam (PISMA) sebagai persediaan menghadapi banjir.

Selain itu, pihaknya juga sentiasa melaksanakan penyelenggaraan sungai, kolam takungan banjir dan infrastruktur JPS secara berkala.

Orang awam boleh mendapatkan maklumat hebahan dan amaran banjir, status aras air sungai dan kelebatan hujan di seluruh Malaysia di laman web Public Infobanjir iaitu https://publicinfobanjir.water.gov.my dan menerusi aplikasi MyPublicInfoBanjir.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan