DUNIA

Varian Delta punca lonjakan kes COVID-19 di selatan Thailand

21/10/2021 08:58 PM

Oleh Tuwaedaniya Meringing

PATTANI,  21 Okt -- Varian Delta yang cepat merebak menjadi punca lonjakan kes COVID-19 di empat wilayah di selatan Thailand – Pattani, Narathiwat, Yala dan Songkhla.

Ketua Pejabat Kesihatan Awam Wilayah Pattani Dr Anurak Sarapap (he) berkata peningkatan varian Delta amat membimbangkan ekoran kebolehjangkitan yang tinggi.

“Varian Delta yang pertama kali dikesan di India dipercayai merebak di kalangan ahli keluarga dan komuniti dan menyebabkan kes COVID-19 dan jumlah kematian meningkat di empat wilayah itu.

“Kini, varian Delta menyumbang kira-kira 40 peratus daripada jangkitan baharu kes COVID-19 di empat wilayah itu,” katanya kepada Bernama.

Sebelum ini, varian paling dominan di wilayah selatan adalah Alpha dan Beta.

Dalam tempoh 24 jam, Thailand mencatatkan 9,727 kes baharu COVID-19 dan 73 kematian, menjadikan jumlah terkumpul kes setakat ini 1,821,579 dan 18,559 kematian.

Daripada jumlah kes baharu, Yala merekodkan 653 kes, Songkhla (627), Pattani (543) dan Narathiwat (374).

Dr Anurak berkata Kementerian Kesihatan Awam Thailand sedang memperhebatkan vaksinasi di empat wilayah untuk mengekang penularan kes COVID-19.

Beliau berkata kementerian telah mengedarkan vaksin Pfizer-BioNTech ke empat wilayah pada bulan ini.

“Kami berharap dapat mencapai sasaran 70 peratus penduduk dewasa menerima suntikan vaksin COVID-19 pada akhir bulan ini,” katanya.

Untuk menggalakkan vaksinasi di kalangan penduduk tempatan, Dr Anurak berkata pemimpin agama kini memainkan peranan mereka untuk memberikan kesedaran dan penerangan berhubung keberkesanan vaksin.

Beliau berharap penduduk tempatan terus mengamalkan langkah-langkah pencegahan di tempat awam dan tempat kerja dalam usaha menbendung penularan COVID-19.

Sementara itu, Dr Anurak berkata pihak berkuasa tempatan kini menggalakkan pesakit COVID-19 yang mengalami gejala tidak serius atau tidak bergejala agar menjalani ‘pengasingan di rumah’ (home isolation) ataupun ‘pengasingan komuniti’ (community isolation) di peringkat mukim.

“Buat masa ini, katil merawat pesakit COVID-19 di hospital di empat wilayah selatan Thailand hampir penuh, maka, kerajaan tempatan menggalakkan pengasingan rumah atau komuniti,” katanya.

-- BERNAMA 

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan