GEORGE TOWN, 20 Okt -- Pertubuhan Badan Pemikir Melayu Pulau Pinang (Pemikir) meminta agar kerajaan negeri mengalihkan pembinaan asrama pekerja asing bertaraf antarabangsa yang masih di peringkat cadangan, dari Teluk Kumbar ke Zon Industri di Batu Kawan.
Pengerusinya Datuk Dr Muhamad Farid Saad berkata pembinaan asrama tersebut di Zon Industri di Batu Kawan dirasakan lebih sesuai, luas dan sedia dibangunkan berbanding kawasan kampung di Teluk Kumbar, selain kedudukan geografinya berhampiran dengan Jambatan Sultan Abdul Halim Mu’adzam Shah (JSAHMS), yang menghubungkan dua kawasan perindustrian.
“Pergerakan bas pekerja dapat diminimumkan sekali gus mengelak pencemaran, selain menjimatkan masa dari tempat tinggal (asrama) ke tempat kerja dan mengelakkan kesesakan," katanya dalam satu kenyataan akhbar, di sini hari ini.
Beliau berkata sekiranya asrama itu dibina di kawasan zon industri, pengawalan kebanjiran pekerja asing oleh pihak imigresen dapat dilaksanakan, di samping masalah penyakit dan yang berkaitan dengan kesihatan mudah ditadbir serta dipantau, manakala pihak polis juga dapat lebih fokus dalam menjaga keselamatan.
Menurutnya pandemik COVID-19 mengakibatkan kes pengangguran yang tinggi dalam kalangan rakyat tempatan, jadi kerajaan negeri seharusnya memberikan peluang atau latihan industri kepada mereka untuk menyesuaikan kemahiran diri dengan keperluan industri.
Sebaliknya, beliau berkata kelulusan projek tersebut menunjukkan bahawa pihak kerajaan negeri lebih mengutamakan pekerja asing dan kebergantungan melampau kepada pekerja asing dalam mencorakkan industri masa depan negeri.
Dalam laporan media baru-baru ini, kerajaan negeri Pulau Pinang meluluskan pembinaan asrama pekerja yang boleh memuatkan 50,000 orang penghuni di Lot 1435 dan 1437 di Bagan Teluk Kumbar, Lot 1859, 1860 dan 1865 di Tingkat Teluk Kumbar serta Lot 236 dan 284 di Mukim 11 Bukit Belah, Sungai Batu.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial