KUALA LUMPUR, 20 Okt -- Pengeluaran empat minyak sayuran dunia iaitu minyak sawit, minyak bunga matahari, minyak kacang soya dan minyak biji sesawi dijangka meningkat kira-kira tujuh juta tan metrik bagi tempoh 2021/2022, pertumbuhan terbesar dalam tempoh empat tahun, demikian menurut Oil World.
Ketuanya, Thomas Mielke berkata ini susulan defisit pengeluaran global selama dua tahun dan penurunan stok minyak sayuran.
“Jika unjuran ini menjadi kenyataan, harga minyak sayuran dijangka jatuh dan harga purata makanan akan menjadi tinggi semasa tempoh tersebut,” katanya dalam pembentangan beliau pada seminar Pointers on Price Trends Majlis Minyak Sawit Malaysia (MPOC) yang diadakan secara maya, hari ini.
Mielke berkata pengeluaran minyak sawit dunia pulih hanya sebanyak 1.7 juta tan metrik pada tempoh Okt 2020-Sept 2021.
Peningkatan sebanyak 3.5 juta hingga empat juta tan metrik dijangkakan bagi musim ini (2021/2022), katanya.
Daripada jumlah itu, pengeluaran di Indonesia dijangka meningkat sebanyak 1.7 juta hingga dua juta tan metrik, pengeluaran di Malaysia diunjur meningkat satu juta hingga 1.2 juta tan metrik dan negara-negara lain dijangka menyumbang kira-kira 0.8 juta tan metrik.
“Di Malaysia, purata hasil minyak sawit dijangka turun ke paras terendah dalam tempoh 20 tahun pada 2021 dan jumlah pengeluaran kepada hanya 18.2 juta tan metrik atau malahan kurang lagi, meskipun cuaca yang secara umumnya baik.
“Keseluruhannya, bagi tahun ini, pengeluaran minyak sawit Malaysia dijangka mencapai kira-kira empat juta tan metrik di bawah potensi disebabkan antara lainnya, kekurangan buruh. Bagaimanapun keadaan dijangka bertambah baik tahun depan dengan 32,000 pekerja asing telah dibenarkan memasuki negara,” katanya.
Aliran menurun pengeluaran minyak sawit telah menyaksikan komoditi itu mencatatkan harga tertinggi baharu sejajar dengan prestasi harga minyak sayuran lain.
Mengulas mengenai langkah kerajaan Malaysia membenarkan kemasukan pekerja asing itu, Timbalan Pengerusi Am Persatuan Minyak Sawit Indonesia (GAPKI) Togar Sitanggang berkata ia boleh membantu mengurangkan masalah pengeluaran rendah yang dihadapi pengeluar minyak sawit kedua terbesar dunia itu sekarang.
Beliau juga berkata perubahan duti India turut menyokong eksport minyak sawit dari Malaysia dan Indonesia ke pasaran pengguna minyak sawit terbesar dunia itu pada 2020.
Bagi tempoh Januari hingga September tahun ini, India muncul sebagai destinasi eksport minyak sawit terbesar Malaysia pada 22.15 peratus, diikuti China (11.38 peratus), Belanda (6.40 peratus) dan Turki (4.37 peratus).
Seminar dalam talian selama seminggu itu yang bertemakan “Determining Price Direction Amidst Market Uncertainty” (Menentukan Hala Tuju Harga di tengah-tengah Ketidaktentuan Pasaran) , mengongsikan pandangan daripada pakar-pakar mengenai pasaran bagi Minyak Sawit Malaysia Mampan Diperakui dan prospek minyak sawit di negara-negara Asia dari 2022 dan seterusnya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial