KUALA TERENGGANU, 18 Okt -- Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) mengambil tindakan ke atas 42 kes penipuan ketulenan logam berharga di seluruh negara membabitkan rampasan berjumlah RM53,463 sejak Januari 2019 hingga Oktober tahun ini.
Pengarah Penguatkuasa KPDNHEP Azman Adam berkata kes penipuan berkenaan melibatkan pembelian emas secara dalam talian disebabkan terpengaruh dengan tawaran harga yang sangat rendah berbanding harga pasaran.
Beliau berkata kes berkenaan membabitkan kompaun sebanyak RM7,700 dan denda RM20,000 yang dikenakan kepada syarikat atau individu terbabit.
"Untuk tahun ini sahaja, sebanyak 11 aduan kita terima dan sembilan daripadanya dikenakan tindakan mengikut Peraturan-Peraturan Perihal Dagangan (Artikel-Artikel Yang Dibuat Daripada Logam Berharga 1994) Akta Perihal Dagangan 2011.
"Kita terus mempergiatkan pemantauan dan tindakan penguatkuasaan dari semasa ke semasa bagi memastikan tiada penipuan berlaku dan undang-undang dipatuhi sepenuhnya," katanya selepas melakukan pemantauan ketulenan logam berharga di beberapa premis menjual emas di sekitar Kuala Terengganu, hari ini.
Turut hadir, Pengarah KPDNHEP Terengganu Saharuddin Mohd Kia.
Dalam perkembangan lain, Azman berkata pihaknya sedang berunding dengan 35 syarikat pengedar dan pengimport kit ujian kendiri COVID-19 (RTK) mengenai cadangan penurunan harga produk tersebut di pasaran.
Bagaimanapun, buat masa ini, pihaknya menggalakkan kesemua syarikat terbabit membuat penilaian semula bagi menurunkan harga jualan yang sewajarnya di pasaran tanpa campur tangan kerajaan.
"Minggu lepas kita membawa masuk kira-kira sembilan juta unit RTK di pasaran dan jumlahnya mungkin mencapai belas-belas juta kerana ada lapan lagi syarikat yang belum terima bekalan dari luar negara.
"Di kementerian kita masih buat kajian harga dan keputusannya akan diumumkan oleh menteri pada satu masa yang sesuai," katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial