SEREMBAN, 18 Okt -- Pesara kerajaan diminta sentiasa berhati-hati selepas menerima wang persaraan bagi mengelakkan daripada ditipu dengan pelaburan dan perkongsian perniagaan tidak wujud, kata Menteri Besar Negeri Sembilan Datuk Seri Aminuddin Harun.
Beliau berkata berdasarkan data yang dikeluarkan Polis Diraja Malaysia (PDRM) pada 2019 hingga 2020, sebanyak 2,464 kes penipuan direkodkan melibatkan 888 kes pinjaman tidak wujud, pembelian dalam talian (861), Love Scam (236) dan Macau Scam (479).
"Jumlah ini membimbangkan, jadi perlu diingatkan supaya jangan menipu dan jangan biarkan diri kita mudah ditipu," katanya berucap pada Majlis Penghargaan Pesara Pentadbiran Kerajaan Negeri Sembilan di sini hari ini yang melibatkan 107 pesara.
Turut hadir, Setiausaha Kerajaan Negeri Sembilan Datuk Dr Razali Abdul Malik.
Beliau berkata beberapa usaha telah dilakukan bagi menangani penipuan itu antaranya sebaran kesedaran melalui media sosial dan media massa agar rakyat tidak mudah terpengaruh dengan tawaran yang diberikan oleh pihak ketiga.
"Golongan pesara khususnya di negeri ini perlu berwaspada dengan taktik penipu yang berleluasa.
“Kerajaan negeri mengingatkan seluruh rakyat supaya sebarang urusan melibatkan transaksi secara dalam talian perlu mendapatkan kepastian dengan pihak yang bertanggungjawab terutamanya bank," katanya.
Sementara itu, Aminuddin dalam ucapan sama berkata kerajaan negeri menyambut baik Rancangan Malaysia ke-12 (RMK12) bagi tempoh 2021 hingga 2025 yang dibentangkan Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob bulan lepas.
Beliau berkata kerajaan negeri melihat terdapat hala tuju strategik yang dapat membangunkan sosioekonomi penduduk setempat iaitu menerusi pembinaan Institut Penyakit Berjangkit Malaysia di Bandar Enstek di sini pada 2022 yang bertujuan mencegah penyakit, ketidakupayaan dan kematian disebabkan penyakit berjangkit.
Menurut Aminuddin, pembinaan jalan baharu dari Kampung Gagu, Jelebu ke Ulu Beranang dengan kos projek RM179.2 juta pula dilihat mampu meningkatkan ekonomi selaras dengan Dasar Perancangan Fizikal Desa Negara 2030.
"Dasar ini menggalakkan proses kebangkitan semula desa dengan mensasarkan perubahan yang positif bagi kawasan desa.
"Usaha ini akan menjadikan desa sebagai tempat tinggal pilihan kerana faktor keindahan dan ketenangan desa di samping peluang pekerjaan yang ada serta kemudahan awam yang baik," katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial