AM

PAS akan bertanding sekiranya PRN Melaka diadakan

16/10/2021 10:17 PM

KOTA BHARU, 16 Okt -- PAS akan meletakkan calonnya untuk bertanding di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka sekiranya Pilihan Raya Negeri (PRN) diadakan di negeri itu, kata Setiausaha Agung PAS Datuk Seri Takiyuddin Hassan.

Beliau bagaimanapun berkata parti itu belum membuat keputusan mengenai nama calon dan bilangan kerusi yang bakal ditandingi.  

Katanya pihaknya telah menubuhkan jawatankuasa induk bagi PRN Melaka yang dipengerusikan oleh Naib Presiden PAS Dr Ahmad Samsuri Mokhtar.

“Ia memang menjadi hasrat PAS untuk bertanding tetapi mengenai calon dan berapa kerusi, termasuk konsep yang akan digunakan, ia belum diputuskan lagi tetapi kita memang akan ambil bahagian.

“Kita juga mengharapkan pelaksanaan PRN Melaka nanti akan berteraskan muafakat sebagaimana di peringkat persekutuan. Semua parti bersatu tidak ada pertembungan antara satu sama lain.

"Kita akan bersama dengan semua parti yang bersama dengan kerajaan persekutuan,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Mesyuarat Agung PAS kawasan Kota Bharu kali ke-54 di sebuah hotel di sini hari ini.

Takiyuddin yang juga Menteri Tenaga dan Sumber Asli berkata  pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14), PAS bertanding di 23 daripada 28 kerusi DUN secara solo di Melaka.

“Walaupun kita tidak menang tetapi ia telah menunjukkan prestasi yang baik di beberapa kerusi di tempat yang kita bertanding,” katanya.

Sebelum ini media melaporkan DUN Melaka terbubar pada 4 Okt lalu selepas Ketua Menterinya Datuk Seri Sulaiman Md Ali hilang sokongan, susulan tindakan empat ADUN daripada blok kerajaan menarik sokongan terhadap kepimpinannya.

Empat ADUN yang mengumumkan hilang kepercayaan dan menarik sokongan terhadap kepimpinan Sulaiman adalah Datuk Seri Idris Haron (BN-Sungai Udang), Datuk Nor Azman Hassan (BN-Pantai Kundor), Datuk Norhizam Hassan Baktee (Bebas-Pengkalan Batu) dan Datuk Noor Effandi Ahmad (Bersatu-Telok Mas).

Mengenai Muktamar Tahunan PAS Ke-67 pada tahun ini, Takiyuddin berkata ia akan diadakan secara hibrid mengikut prosedur operasi standard (SOP) norma baharu.

“Pada tahun ini semua peringkat ada pemilihan. Tempat utama muktamar ini akan diadakan di Terengganu, bagi PAS Kota Bharu dijangka seramai 270 ahli akan hadir secara fizikal,” tambahnya.

-- BERNAMA


 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan