PUTRAJAYA, 15 Okt -- Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) akan melaksanakan kawal selia ringan ke atas perkhidmatan awan di Malaysia mulai 1 Jan tahun depan, kata Menteri Komunikasi dan Multimedia Tan Sri Annuar Musa.
Beliau dalam satu kenyataan hari ini berkata keputusan itu diambil setelah MCMC mempertimbangkan pandangan pihak industri tempatan dan asing yang khuatir akan kesan kawal selia terhadap pelaburan dalam sektor perkhidmatan awan termasuk kos operasi.
Annuar berkata kawal selia ringan itu akan dilaksanakan melalui pelesenan perkhidmatan awan di bawah lesen Kelas Pemberi Perkhidmatan Aplikasi [‘ASP (C)’] yang telah diliberalisasikan pada 2012 yang membenarkan pegangan saham asing sehingga 100 peratus dengan fi pendaftaran sebanyak RM2,500 setahun sahaja.
Beliau berkata melalui kawal selia ringan itu, MCMC berpeluang untuk bekerjasama dengan pemberi perkhidmatan untuk menghasilkan instrumen kawal selia seperti kod teknikal serta prosedur operasi standard (SOP) mengenai keselamatan dan perlindungan data berteraskan tanda aras antarabangsa.
"Pematuhan terhadap instrumen yang dibangunkan bersama ini adalah penting bagi menjamin kestabilan dan keseragaman perkhidmatan awan untuk mewujudkan persekitaran yang dipercayai (trusted environment) dan terjamin," katanya.
Annuar berkata adalah penting untuk perkhidmatan awan dikawal selia bagi menjamin keselamatan data, privasi data, perlindungan data dan aliran data pengguna di dalam perkhidmatan awan.
Menurutnya, kerajaan melaksanakan strategi cloud first policy yang akan menyaksikan kebergantungan terhadap perkhidmatan awan meningkat dalam urusan seharian rakyat Malaysia selaras dengan pelancaran Rangka Tindakan Ekonomi Digital Malaysia (MyDIGITAL).
MyDIGITAL dilancarkan pada 19 Feb lepas itu dijangka membuka 500,000 peluang pekerjaan dalam ekonomi digital dan bakal menyumbang 22.6 peratus kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) negara.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial