KOTA BHARU, 14 Okt -- Universiti Malaysia Kelantan (UMK) memperkenalkan jualan produk eksklusif berupa wafer emas seberat satu gram bagi membantu 45 bakal graduan sempena Majlis Istiadat Konvokesyen Kali Ke-10 dan 11 dengan kerjasama Perbadanan Menteri Besar Kelantan (PMBK).
Naib Canselor UMK Prof Nik Maheran Nik Muhammad berkata usaha itu sebagai dedikasi UMK meraikan graduan yang menerima ijazah masing-masing pada hari konvokesyen yang bakal berlangsung pada 20 hingga 25 Nov ini.
"Pengenalan wafer emas edisi khas itu sebagai galakan melabur sambil menderma dan inisiatif universiti untuk membantu penuntut yang tidak dapat bergraduan kerana mempunyai masalah tidak mampu membayar yuran konvokesyen.
"Harga seunit wafer emas itu ialah RM320 dan kami menyasarkan penjualan 1,000 unit dalam masa terdekat," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) antara PMBK dan Kelantan Gold Trade Sdn Bhd serta pelancaran Produk Eksklusif Edisi Konvokesyen UMK Kali-10 dan Ke-11, di sini hari ini.
Majlis menandatangani MoU tersebut disempurnakan Nik Maheran dan Ketua Pegawai Eksekutif PMBK Abdul Rashid Mohd Yusoff, yang turut disaksikan Pengerusi Jawatankuasa Perpaduan Masyarakat, Kebudayaan, Warisan dan Pelancongan negeri Mejar (B) Datuk Md Anizam Ab Rahman.
Nik Maheran berkata produk wafer emas itu istimewa kerana mengetengahkan rekaan berlatar belakang universiti yang bercorak cokmar konvokesyen UMK dan Jata Negeri Kelantan.
"Ketulenan emas bermutu tinggi sesuai dijadikan sebagai token atau cenderamata kenang-kenangan eksklusif selain sebagai aset simpanan jangka panjang kepada warga UMK dan orang ramai," katanya.
Dalam perkembangan sama, Abdul Rashid berkata UMK adalah universiti awam pertama menjalankan kerjasama bagi memupuk minat penuntut dalam pelaburan emas.
"Inisiatif dan kerjasama dengan UMK dapat memberi ilham kepada lepasan graduan dalam mencari kerja dan menjadi usahawan dalam bidang perniagaan emas yang menguntungkan," katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial