EKONOMI

Adham: Platform Xinghuo-Zetrix MyEG berperanan penting dalam kejayaan RCEP

12/10/2021 06:47 PM

KUALA LUMPUR, 12 Okt -- Platform Xinghuo-Zetrix yang dibangunkan MyEG Services Bhd (MyEG) bagi menghubungkan perniagaan Malaysia di China akan berperanan penting memastikan kejayaan perjanjian Kerjasama Ekonomi Komprehensif Serantau (RCEP) bagi menangani pelbagai isu yang menghalang perdagangan bebas.

Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Datuk Seri Dr Adham Baba berkata perniagaan tempatan perlu memanfaatkan platform itu untuk berhubung dengan pelanggan mereka di China bagi memastikan ketulenan produk dan meningkatkan kecekapan proses.

“Melalui penggunaan platform ini, pengeksport Malaysia akan menerima kelebihan yang kompetitif, sekali gus perdagangan di antara Malaysia dengan China akan lebih berkembang,” katanya pada majlis menandatangani memorandum persefahaman (MoU) di antara MyEG dengan Akademi Teknologi Maklumat dan Komunikasi China (CAICT) sempena pelancaran ‘Xinghuo BIF International Backbone’ dan ‘Supernodes: Zetrix Blockchain’ hari ini.

Beliau berkata gerbang kesalinghubungan Xinghuo-Zetrix akan membolehkan aliran perdagangan dan pembayaran dalam RCEP seperti keupayaan mengesan produk, pengiraan tarif dan pembiayaan rantaian bekalan.

“Dalam kalangan 15 negara anggota RCEP, perdagangan pelbagai hala kita melebihi US$2.5 trilion (US$1=RM4.17) yang mana China menyumbang lebih separuh iaitu US$1.4 trilion,” katanya.

Menurutnya RCEP adalah peluang keemasan untuk menaik taraf kehidupan dan sumber pendapatan dalam kalangan 30 peratus penduduk dunia.

Sehubungan itu, Adham menggesa semua penggiat industri agar mengikut jejak MyEG bagi meneroka dan menggunakan teknologi blockchain dalam perniagaan mereka untuk menangani cabaran dan mengoptimumkan peluang daripada era digital terhadap perkembangan ekonomi, masyarakat dan alam sekitar.

Mengenai MoU itu, beliau berkata kerjasama berkenaan bertujuan membangunkan tulang belakang  antarabangsa dan ‘supernodes’ kepada Kemudahan dan Infrastruktur Blockchain (BIF) Xinghuo di luar China, sekali gus berfungsi sebagai gerbang antarabangsa kepada ekonomi digital China yang berkembang maju.

“Xinghuo BIF International Backbone’ dan ‘Supernodes,’ dikenali sebagai Zetrix Blockchain yang dibangunkan MyEG akan menyediakan kesalinghubungan kepada infrastruktur blockchain negara China bagi membolehkan perdagangan rentas sempadan yang lancar dan memudahkan kerjasama global dalam pembangunan ekonomi digital,” katanya.

Beliau berkata kerjasama itu akan menjadi pemangkin kepada pelaksanaan teknologi blockchain dan inovasi yang merentasi seluruh sektor.

Sementara itu, Pengarah Urusan Kumpulan MyEG Wong Thean Soon melahirkan keyakinan bahawa Xinghuo-Zetrix akan memperkukuh inovasi dan model perniagaan baharu serta berkongsi aplikasi yang memanfaatkan semua sektor melalui inovasi dan ketahanan, sekali gus memberi kemakmuran kepada komuniti yang terlibat.

-- BERNAMA

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan