KUALA LUMPUR, 12 Okt -- Kerajaan dicadang supaya mewujudkan sebuah pasukan petugas bagi mengkaji semula dasar satu peratus pekerja Orang Kurang Upaya (OKU) dalam sektor awam yang sehingga kini hanya mencapai 0.4 peratus meskipun lebih tiga dekad diperkenalkan.
Senator Datuk Ras Adiba Radzi berkata dasar itu diperkenalkan pada 1988 dan pelaksanaannya melalui Pekeliling Perkhidmatan pada 2008 dan 2010 itu mesti diberi perhatian serius bagi membantu OKU.
“Kami OKU, tidak perlukan belas kasihan, tetapi komitmen yang ikhlas bagi memastikan ekosistem di negara ini inklusif serta ramah OKU,” katanya pada sesi perbahasan Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12) di Dewan Negara di sini, hari ini.
Beliau berkata sekarang hanya empat kementerian yang telah mencapai lebih satu peratus iaitu Kementerian Pertahanan; Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat; Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi serta Kementerian Perpaduan Negara.
Ras Adiba turut mencadangkan agar kerajaan memperkenalkan National Disability Strategy for Malaysia atau strategi hilang upaya negara seperti Blueprint Pendidikan Malaysia dan diketuai sendiri oleh Perdana Menteri dalam menerajui soal pembangunan OKU di Malaysia.
Beliau berkata buat masa ini Malaysia tidak mempunyai sebarang dokumen perancangan strategik bagi OKU, sebaliknya hanya Pelan Tindakan OKU 2016-2022 yang menekankan hal ehwal pelaksanaan sahaja dan bukannya perancangan strategik.
“Memandangkan Pelan Tindakan OKU sedia ada akan berakhir pada tahun hadapan, maka kini adalah peluang terbaik untuk kerajaan memperkenalkan National Disability Strategy for Malaysia, sejajar dengan Wawasan Kemakmuran Bersama 2030 yang menekankan masyarakat inklusif, ‘no one’s left behind’ atau tiada sesiapa yang ketinggalan,” katanya.
Beliau berkata pelan itu juga perlu mendapat kelulusan semua Menteri Besar dan Ketua Menteri agar dapat dilaksanakan di semua negeri.
Sementara itu, Ras Adiba turut mencadangkan supaya kerajaan menerusi Prasarana Malaysia Berhad (Prasarana) memperkenalkan semula Rapid Mobiliti yang menyediakan perkhidmatan pintu ke pintu bagi memudahkan pergerakan OKU ke sesuatu lokasi terutamanya di bandar-bandar utama seperti Kuala Lumpur, Shah Alam, Pulau Pinang, Johor Bahru dan Kuantan.
Beliau juga berharap kerajaan mengkaji semula serta mewujudkan kembali inisiatif Skim Bantuan Galakan Perniagaan Orang Kurang Upaya (SBGP-OKU) bagi membantu golongan OKU menjana pendapatan dalam bidang perniagaan.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial