KUALA LUMPUR, 10 Okt -- Parti Kuasa Rakyat (Kuasa Rakyat) yang dilancarkan hari ini menyerahkan kepada Barisan Nasional (BN) sama ada mahu menawarkan parti itu menjadi sebahagian daripada komponennya.
Presiden Penajanya Kamarazaman Yaakob berkata Kuasa Rakyat, yang merupakan sebuah parti berbilang kaum, boleh mengisi kelompongan sedia ada di dalam gabungan itu.
“Kita tidak mengantikan MCA atau MIC… Jadi, kami sebuah parti berbilang kaum dan sudah boleh mengisi kelompongan dalam BN dan itu bergantung kepada sejauh mana mereka ‘berselera’ serta berkeinginan untuk menerima kami.
“Itu bergantung kepada kondisi dan situasi politik,” katanya pada sidang media selepas majlis pelancaran Parti Kuasa Rakyat di sini hari ini.
Ketika ditanya bila parti itu akan didaftar di bawah Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (RoS), Kamarazaman berkata pihaknya sedang berbincang dengan sebuah parti yang telah didaftarkan di negara ini untuk bergabung dan membentuk barisan kepimpinan baharu.
Tanpa menamakan parti terbabit, beliau berkata Kuasa Rakyat akan menumpukan kepada agenda pemerkasaan golongan B40 dan M40 serta anak muda di negara ini selain menjadi parti mesra kerajaan.
“Kuasa Rakyat akan memperjuang dasar pelajaran percuma, hapuskan PTPTN (Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional), hapuskan semua bentuk hutang PTPTN dan digantikan dengan biasiswa, dermasiswa atau yang sewaktu dengannya.
“Penghapusan hutang ini hanya terpakai kepada anak-anak golongan B40 dan M40. Begitu juga dalam soal pemberian segala bentuk biasiswa, hanyalah kepada anak-anak B40 dan M40,” katanya.
Kamarazaman turut menafikan parti itu didalangi pihak tertentu termasuk adiknya yang juga Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial