AM

Istana Melaka belum terima surat hasrat parti politik bertemu Yang Dipertua Negeri

04/10/2021 11:34 PM

MELAKA, 4 Okt -- Istana Melaka belum menerima surat daripada mana-mana parti politik untuk mengadakan pertemuan dengan Yang Dipertua Negeri Melaka Tun Mohd Ali Rustam berhubung dakwaan kerajaan negeri sedia ada telah hilang majoriti untuk mentadbir negeri itu.

Setiausaha Khas Yang Dipertua Negeri Melaka Datuk Nur Azmi Ahmad berkata buat masa ini, Mohd Ali sedang menjalani kuarantin kendiri selama dua minggu bermula 30 Sept lepas kerana menjadi kontak rapat kepada individu positif COVID-19.

"Setakat ini tiada surat janji untuk saya persembahkan kepada Tun Mohd Ali," katanya ketika dihubungi Bernama di sini hari ini.

Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Melaka Adly Zahari sebelum ini dilaporkan sebagai berkata pihaknya akan mengadakan pertemuan dengan Mohd Ali dalam tempoh terdekat bagi menghantar surat memaklumkan bahawa kerajaan negeri di bawah pimpinan Ketua Menteri Datuk Sulaiman Md Ali telah hilang majoriti.

Hari ini empat ADUN kerajaan mengumumkan hilang kepercayaan dan menarik sokongan terhadap kepimpinan Sulaiman.

Mereka ialah Datuk Seri Idris Haron (BN-Sungai Udang), Datuk Nor Azman Hassan (BN-Pantai Kundor), Datuk Norhizam Hassan Baktee (Bebas-Pengkalan Batu) dan Datuk Noor Effandi Ahmad (Bersatu-Telok Mas).

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan