EKONOMI

KAB terbit sukuk bernilai RM500 juta

29/09/2021 09:19 PM

KUALA LUMPUR, 29 Sept -- Anak syarikat milik penuh Kejuruteraan Asastera Bhd (KAB), KAB Energy Power Sdn Bhd telah menerbitkan program sukuk nota jangka sederhana Islam pelbagai mata wang bernilai sehingga RM500 juta.

Pengarah Urusannya, Datuk Lai Keng Onn berkata hasil itu akan digunakan untuk membiayai pembangunan akruan nilai dan pengambilalihan berkaitan tenaga masa depan di Malaysia dan rantau Asia serta membiayai semula pinjaman kumpulan sedia ada.

Ia akan memberi fleksibiliti kepada kumpulan dalam mengumpul dana dengan jumlah dan tempoh yang pelbagai untuk pemadanan liabiliti aset yang optimum melalui pasaran modal, katanya.

"Kami secara aktif mencari aset tenaga seperti penjanaan tenaga solar, loji tenaga hidro dan biogas, kerana kami melihat pertumbuhan yang luar biasa di sektor ini.

"Oleh itu, program ini adalah peluang yang baik bagi kami untuk mengumpulkan dana jangka panjang di pasaran modal dan dapat memberikan fleksibiltiti yang lebih besar untuk menguruskan aliran syarikat serta pengumpulan dana untuk memenuhi keperluan pembiayaan pada kadar faedah lebih rendah,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Lai berkata Public Investment Bank Bhd (PIVB) telah dilantik sebagai penasihat utama, pengatur utama dan pengurus utama untuk program sukuk selama 30 tahun itu.

Beliau berkata untuk peringkat pertama, Public Islamic Bank Bhd (PIBB) telah menyatakan hasratnya untuk melanggan manakala penjamin kewangan milik kerajaan, Danajamin Nasional Bhd (Danajamin) telah bersetuju untuk menjaminnya.

"Peringkat yang dijamin oleh Danajamin mempunyai nilai yang setara dengan penarafan 'AAA' dan Danajamin diberi penarafan 'AAA' oleh RAM Rating Services Bhd dan Malaysian Rating Corporation Bhd," katanya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan