JENAYAH & MAHKAMAH

LHDN mohon kes saman terhadap Shafee diputuskan melalui penghakiman terus

28/09/2021 08:49 PM

KUALA LUMPUR, 28 Sept  -- Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) memohon supaya kes samannya terhadap Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah yang menuntut peguam itu supaya membayar tunggakan cukai pendapatan berjumlah RM9.41 juta diputuskan melalui penghakiman terus.

Penghakiman terus ialah apabila mahkamah memutuskan kes melalui afidavit dan hujahan tanpa mendengar keterangan saksi dalam perbicaraan.

Menerusi carian sistem mahkamah, permohonan itu difailkan LHDN bagi pihak kerajaan selaku plaintif semalam atas alasan antaranya defendan gagal membayar keseluruhan tunggakan cukai pendapatan serta kenaikan cukai yang dikenakan ke atasnya berjumlah RM9,414,708.32 dalam tempoh yang ditetapkan.

Berdasarkan notis permohonan itu, plaintif berhak mendapatkan kembali jumlah cukai pendapatan dan kenaikan tertunggak yang dikenakan ke atas defendan sebagai satu cukai yang genap masanya dan perlu dibayar.

Hari ini ditetapkan sebagai pengurusan kes secara dalam talian (e-Review) di hadapan Timbalan Pendaftar Mahkamah Tinggi Syeela Marlina Uttaman yang turut disertai Peguam Hasil Mohamad Ezmeer Zulkarnaen Asnizar dan peguam Wee Yeong Kang bagi pihak Muhammad Shafee.

Mohamad Ezmeer ketika dihubungi pemberita mengesahkan bahawa pihak LHDN telah mengemukakan permohonan agar kes itu diputuskan melalui penghakiman terus.

“Selain penghakiman terus, pihak kami juga membuat permohonan untuk membatalkan tuntutan balas defendan,” kata beliau sambil menambah mahkamah menetapkan 13 Okt sebagai tarikh pengurusan kes selanjutnya.

LHDN memfailkan saman itu pada 6 Mei lepas dengan mendakwa sehingga kini, Muhammad Shafee masih gagal membayar amaun cukai pendapatan yang masih terhutang bagi Tahun-Tahun Taksiran 2011, 2012, 2013, 2014 dan 2016 termasuk kenaikan yang dikenakan, kesemuanya berjumlah RM9,414,708.32.

Muhammad Shafee merupakan peguam bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dalam kes penyelewengan dana SRC International Sdn Bhd dan 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Beliau berdepan dua pertuduhan menerima wang hasil aktiviti haram berjumlah RM9.5 juta daripada Najib serta dua pertuduhan membuat penyata yang tidak betul kepada LHDN.

-- BERNAMA



 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan