KUALA LUMPUR, 28 Sept -- RHB Banking Group memperuntukkan RM1 bilion menjelang 2025 melalui Program Pembiayaan Kelestarian (SFP) yang baru dilancarkan, program ini menggabungkan produk pembiayaan hijau bagi memenuhi keperluan pelanggan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) termasuk peruncitan.
RHB menjelaskan mengatakan empat tonggak SFP adalah Tenaga Hijau, Bangunan Hijau, Proses Hijau dan Produk Hijau, yang bertujuan mempromosikan pembangunan lestari serta menyokong peralihan negara ke arah ekonomi rendah karbon melalui penyelesaian pembiayaan mesra alam yang menggabungkan kriteria Persekitaran, Sosial dan Tadbir Urus (ESG).
SFP mengguna pakai pendekatan yang lebih holistik untuk pembiayaan hijau, menangani keperluan perniagaan dan individu melalui pelbagai penyelesaian pembiayaan.
“Penyelesaian pembiayaan Tenaga Hijau mempromosikan penggunaan tenaga boleh diperbaharui melalui pembiayaan panel solar bagi perniagaan dan premis kediaman, manakala Bangunan Hijau mengalakkan penggunaan pertimbangan alam sekitar termasuk ciri-ciri mesra alam dalam reka bentuk, pembinaan, operasi dan penyelenggaraan bangunan.
“Proses Hijau, sebaliknya, bertujuan untuk meminimumkan kesan persekitaran melalui peningkatan dalam proses, peralatan serta mesin bagi menyokong pengurangan karbon pelanggan, sementara Produk Hijau mempromosikan pembelian produk mesra alam seperti hibrid, hibrid pemalam dan kenderaan elektrik,'' katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Melalui penyelesaian penggabungan SFP, pelanggan mendapat faedah daripada kadar keutamaan serta jangka masa pinjaman atau pembiayaan yang lebih lama termasuk insentif cukai yang relevan yang disediakan di bawah Elaun Cukai Pelaburan Hijau dan Pengecualian Cukai Pendapatan Hijau berdasarkan fasiliti yang mereka pilih.
Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Khairussaleh Ramli berkata institusi kewangan memainkan peranan penting dalam memberikan sumbangan nasional yang ditentukan atau INDC yang merangkumi usaha untuk mengurangkan intensiti pelepasan gas rumah kaca di negara ini sebanyak 45 peratus menjelang 2030 berbanding intensiti pelepasan dalam KDNK pada 2005.
“Dipandu oleh Kerangka Kelestarian kami, kumpulan ini terus terlibat dan memupuk pelanggan bagi menerapkan amalan lestari dalam perniagaan serta operasi mereka, selain bertujuan memberi kesedaran di kalangan pengguna mengenai pentingnya memilih produk mesra alam atau penyelesaian pembiayaan lestari untuk persekitaran hidup yang lebih sihat,” katanya lagi.
Pada 31 Mei 2021, komitmen pembiayaan hijau kumpulan itu mencecah RM3.25 bilion, yang mana sekitar 20 peratus disalurkan dalam projek tenaga boleh diperbaharui.
Sebagai sebahagian daripada usaha yang lebih luas untuk menyelaraskan dengan Rangka Kerja Kelestarian RHB, kumpulan berkenaan tidak akan mengejar peluang atau membiayai sebarang projek lombong arang batu termal baharu dan projek loji jana kuasa arang batu mulai Januari 2022.
Maklumat lebih lanjut mengenai Program Pembiayaan Kelestarian RHB boleh didapati melalui www.rhbgroup.com/greenfinancing/index.html.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial