AM

34 pelajar cemerlang SPM selatan tanah air terima tajaan Petronas

28/09/2021 06:39 PM

MELAKA, 28 Sept -- Seramai 34 pelajar cemerlang Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2020 dari Johor, Melaka dan Negeri Sembilan menerima tajaan menerusi Program Penajaan Pendidikan Petronas (PESP) tahun ini bagi melanjutkan pengajian di pelbagai universiti tempatan dan luar negara.

Pengurus Besar Petronas Wilayah Selatan Sazli Zakaria berkata komitmen syarikat berkenaan terhadap bidang pendidikan dan pembangunan modal insan sejak 46 tahun lepas tetap diteruskan walaupun berhadapan dengan cabaran pandemik COVID-19.

"Menerusi PESP ini diharap ia memberi semangat baharu kepada penerima meneruskan pembelajaran dan memperoleh kejayaan yang cemerlang walaupun ada dalam kalangan mereka tidak mempunyai fasiliti mencukupi terutama di luar bandar," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Sazli berkata bagi mematuhi sekatan pergerakan akibat COVID-19, pemilihan PESP yang melibatkan lebih 10,000 permohonan itu dilaksanakan secara dalam talian dengan kerjasama Kementerian Pendidikan dan pihak berkuasa tempatan.

Petronas memperuntukkan lebih daripada RM120 juta untuk penajaan menerusi PESP tahun ini dan ia telah diperluas merangkumi disiplin ilmu lain seperti Biokimia, Pentadbiran Perniagaan (Pemasaran dan Perdagangan) serta Sains Alam Sekitar untuk menyokong agenda kelestarian dan tenaga bersih Petronas.

-- BERNAMA

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan