KUALA LUMPUR, 28 Sept -- Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) komited untuk melaksana dan menjayakan inisiatif di bawah Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12) yang telah dibentangkan selaras dengan fungsinya selaku peneraju bidang sains, teknologi, inovasi dan ekonomi (STIE).
Menurut kementerian itu, strategi di bawah pemangkin dasar membangunkan tenaga kerja masa hadapan dan mempercepat penerimagunaan teknologi dan inovasi yang digariskan dalam RMK12 amat bertepatan dengan usaha pemulihan negara khususnya menjana semula ekonomi pasca pandemik COVID-19.
“Strategi yang telah dirancang akan merancakkan usaha pembangunan, penyelidikan dan pengkomersialan serta membangunkan tenaga kerja tempatan yang inovatif bagi menyokong pembangunan teknologi tempatan selaras dengan Dasar Sains, Teknologi dan Inovasi Negara (DSTIN) 2021-2030,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Strategi itu juga akan membantu Malaysia menjadi lebih berdaya saing untuk mendepani cabaran global, seterusnya menjadi sebuah negara berpendapatan tinggi dan berteknologi tinggi dengan guna tenaga mahir ke arah mencapai pertumbuhan inklusif.
Ketika ini, MOSTI berkata, ia berada pada landasan yang tepat dalam menjadikan Malaysia sebagai negara berpendapatan dan berteknologi tinggi.
“Hasrat besar ini disokong oleh DSTIN 2021-2030 serta Rangka Kerja 10-10 Sains, Teknologi dan Inovasi Malaysia (MySTIE) yang dilancarkan pada 8 Dis 2020,” katanya.
Gabungan kedua-dua DSTIN dan MySTIE ini akan memastikan kemajuan sains dan teknologi bergerak seiring dengan pertumbuhan ekonomi negara.
“STIE sebagai pemacu perubahan mampu menyokong pertumbuhan ekonomi negara dengan menjajarkan penyelidikan dan pembangunan untuk pengkomersialan, penjanaan kekayaan serta pertumbuhan ekonomi,” katanya.
Dalam hal ini, katanya, RMK12 telah menetapkan enam sasaran terpilih berkaitan kementerian tersebut untuk dicapai pada 2025, termasuk 2.5 peratus perbelanjaan kasar penyelidikan dan pembangunan (GERD) kepada keluaran dalan negara kasar (KDNK); 70 peratus perbelanjaan penyelidikan dan pembangunan oleh sektor swasta kepada GERD dan 130 bilangan penyelidik bagi setiap 10,000 tenaga buruh.
Justeru itu, MOSTI juga mengalu-alukan usaha untuk memberi sokongan kepada lebih ramai tenaga kerja tempatan yang mampu mencipta teknologi bagi menyokong pertumbuhan industri tempatan melalui penyelidikan, pembangunan, pengkomersialan dan inovasi.
Menurutnya, inisiatif ini akan mengurangkan kebergantungan negara terhadap teknologi asing di samping meningkatkan sumber pendapatan negara.
“Sehubungan itu, keupayaan teknologi teras seperti kecerdasan buatan, Internet Pelbagai Benda (IoT), blockchain, bahan dan teknologi termaju dan analitis data raya diberikan penekanan yang merangkumi pembangunan ekosistem berkaitan termasuk pembangunan tenaga kerja, pembiayaan dan galakan pelaburan domestik oleh kerajaan dan pemain industri,” katanya.
Mosti berkata, pemerkasaan teknologi teras akan berfungsi sebagai medium disruptif yang menggalakkan inovasi bidang baharu, pembolehdaya pertumbuhan ekonomi yang akan memudahcara dan menyokong perancangan serta dasar kerajaan dalam menghadapi revolusi perindustrian keempat, sekali gus menjadikan Malaysia sebuah negara berteknologi tinggi.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial