AM

80 peratus penduduk dewasa Kelantan dijangka lengkap vaksinasi tiga minggu lagi

28/09/2021 03:16 PM

KOTA BHARU, 28 Sept  -- Kelantan menjangka 80 peratus daripada 1.2 juta rakyat negeri ini yang terdiri daripada golongan dewasa akan menerima vaksinasi COVID-19 lengkap dalam tempoh tiga minggu lagi.

Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Kesihatan negeri Dr Izani Husin yakin jangkaan itu mampu tercapai memandangkan lebih satu juta golongan dewasa yang menetap di Kelantan telah menerima sekurang-kurangnya satu dos suntikan vaksin ketika ini.

"...kemudian campur pula dengan rakyat Kelantan yang duduk di luar negeri maka bakinya (yang belum divaksin) tak banyak yang tinggal," katanya ketika ditemui pemberita di pejabatnya di Kompleks Kota Darul Naim, di sini hari ini.

Berdasarkan data dikeluarkan Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Bekalan Vaksin COVID-19 (JKJAV), Kelantan merekodkan sebanyak 67.5 peratus populasi dewasa lengkap vaksinasi setakat semalam.

Dr Izani bagaimanapun tidak menolak kemungkinan masih wujud sebilangan individu yang enggan divaksin kerana terpengaruh dengan maklumat yang tidak benar berkaitan vaksin COVID-19.

Merujuk kepada perkembangan Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK) Remaja di Kelantan yang bermula 25 Sept lepas, Dr Izani berkata setakat ini program berkenaan mendapat sambutan cukup memberangsangkan termasuk dalam kalangan ibu bapa mereka.

"Ada yang hadir ke pusat pemberian vaksin (PPV) awam lebih awal daripada janji temu dan ini membuktikan kesedaran golongan remaja serta ibu bapa semakin tinggi mengenai kepentingan vaksinasi. Ini memudahkan agenda kerajaan untuk menyelamatkan rakyat.

Dr Izani berkata buat masa ini, PICK bagi golongan remaja di negeri itu mengutamakan pemberian vaksin terhadap mereka yang berusia 16 dan 17 tahun.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan