EKONOMI

SilTerra disaran turunkan kadar scrap wafer, perbelanjaan operasi

28/09/2021 02:59 PM

KUALA LUMPUR, 28 Sept -- SilTerra Malaysia Sdn Bhd disaran menurunkan kadar scrap wafer serta mengambil tindakan proaktif untuk mengurangkan perbelanjaan operasi dan penghasilan produk yang mengalami kerugian bagi meningkatkan keuntungan syarikat.

Penghasilan wafer semikonduktor melibatkan perbelanjaan operasi yang tinggi dan menyebabkan SilTerra mengalami kerugian, demikian menurut Laporan Ketua Audit Negara Tahun 2019 Siri 2 yang dikeluarkan hari ini.

Laporan itu mendedahkan kedudukan kewangan SilTerra kurang stabil dengan kerugian terkumpul meningkat kepada RM1.832 bilion sehingga tahun 2020 terutamanya berikutan susut nilai aset peralatan pemprosesan.

Analisis audit terhadap prestasi kewangan SilTerra mendapati sepanjang tempoh sembilan tahun beroperasi hanya empat tahun iaitu dari 2013 hingga 2016 syarikat itu mencatatkan keuntungan, manakala bagi tempoh lima tahun yang selebihnya ia mengalami kerugian.

Kerugian ini telah menyebabkan Khazanah Nasional Bhd merancang menjual anak syarikat milik penuhnya itu memandangkan ekuiti pemegang saham SilTerra kekal negatif sejak tahun 2006 yang berjumlah RM24 juta.

"Penjualan saham SilTerra (kepada Dagang NeXchange Bhd) pada 31 Mac 2021 oleh Khazanah memberi kesan kepada kepentingan negara.

"Ia kerana SilTerra mempunyai banyak kelebihan dan merupakan satu-satunya syarikat yang mempunyai kepakaran membuat wafer semikonduktor bertaraf dunia milik negara," jelas laporan itu.

Laporan itu menyatakan, secara keseluruhannya, SilTerra telah mencapai objektif penubuhan syarikat.

Penjualan dan pemasaran berkesan kerana sebahagian besar pendapatan syarikat itu diterima dari luar negara.

Bagaimanapun, perkara yang perlu diberi perhatian adalah pengurusan prestasi petunjuk prestasi utama (KPI), pelaksanaan pembuatan wafer semikonduktor dan pengurusan penghutang perniagaan kerana ia dikategorikan sebagai tidak cekap, kata laporan itu.

Menurut laporan itu, terdapat kelemahan dalam pengurusan kutipan bayaran penghutang serta kaedah peringatan yang tidak mengikut peraturan yang telah menyumbang kepada masalah ini.

Penghutang perniagaan SilTerra berjumlah RM105.59 juta (52 syarikat) pada 2017, RM145.17 juta (72 syarikat) pada 2018, RM150.21 juta (122 syarikat) pada 2019 dan RM119.05 juta (127 syarikat) pada 2020.

"SilTerra telah mengenal pasti kelemahan ini dan telah mengambil langkah berjaga-jaga yang diperlukan untuk terus maju," kata laporan itu.

Semakan audit mendapati kesemua tiga KPI yang ditetapkan telah dicapai melebihi 90 peratus bagi 2017, manakala bagi 2018 dan 2019 pula, hanya satu KPI dicapai melebihi 90 peratus daripada keseluruhan empat KPI yang ditetapkan bersamaan 25 peratus pencapaian tahunan.

Manakala KPI bagi 2020, tiga KPI telah dicapai melebihi 90 peratus daripada empat KPI yang ditetapkan.

-- BERNAMA

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan