BERITA TERGEMPAR   Malaysia hopes ASEAN-Canada Free Trade Agreement negotiations can be concluded soonest possible for mutual benefit - PM Anwar | 
 AM

MOSTI kaji mekanisme tingkatkan penyelidik industri - Dr Adham

28/09/2021 02:35 PM

PUTRAJAYA, 28 Sept -- Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) sedang mengkaji mekanisme bersesuaian untuk menambah jumlah penyelidik atau pekerja mahir dalam sektor industri bagi meningkatkan inovasi dan produktiviti, kata Menterinya Datuk Seri Dr Adham Baba.

Berdasarkan pangkalan data Institut Statistik Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO), Adham berkata Malaysia hanya mempunyai 15.83 peratus penyelidik di dalam sektor industri manakala 79.2 peratus penyelidik berada di institut pengajian tinggi (IPT).

"Negara lain yang berpaksikan inovasi mempunyai lebih daripada 40 peratus penyelidik dalam sektor industri," katanya ketika berucap pada Majlis Pengumuman Penerima Top Research Scientists Malaysia (TRSM 2021) secara maya hari ini.

Beliau berkata platform Researcher Industry Scientific Exchange (RISE) adalah antara inisiatif MOSTI yang membolehkan penempatan penyelidik di industri bagi membantu menyelesaikan masalah yang dihadapi dan meningkatkan produktiviti.

Mengenai pembangunan prototaip dan aktiviti penyelidikan prapengkomersialan, Dr Adham berkata Malaysia hanya membelanjakan 24.5 peratus dana untuk aktiviti berkaitannya jika dibandingkan negara berinovasi tinggi yang membelanjakan lebih 50 peratus untuk menghasilkan produk dan perkhidmatan yang mempunyai nilai tambah.

Bagi menangani masalah berkenaan, MOSTI menerusi Dasar Sains, Teknologi dan Inovasi Negara 2021-2030 telah memperuntukkan sekurang-kurangnya 50 peratus dana penyelidikan dan pembangunan untuk aktiviti penyelidikan prapengkomersialan.

Sempena majlis hari ini, seramai 22 saintis diiktiraf TRSM 2021 berdasarkan sumbangan mereka yang signifikan dan cemerlang dalam bidang Sains, Teknologi, dan Inovasi (STI).

Pengiktirafan tahunan itu diberikan oleh Akademi Sains Malaysia (ASM)  kepada para saintis penyelidik tempatan dengan kesemua penerima TRSM akan diserap sebagai ahli rujukan dan mentor kepada generasi saintis akan datang selaras dengan agenda STI negara.

TRSM telah mengiktiraf 134 penerima daripada 5,500 profil bakat STI dalam negara sejak diperkenalkan pada 2012.

Kesemua 22 penyelidik dari 12 IPT dan IPT swasta tempatan menerima pengiktirafan berkenaan dengan anugerah sijil penghargaan dan pingat.

Mereka terdiri daripada lima penyelidik dari Universiti Sains Malaysia dan masing-masing empat penyelidik dari Universiti Kebangsaan Malaysia serta Universiti Malaya.

Sementara sembilan lagi penyelidik masing-masing seorang dari Universiti Teknologi Malaysia, Universiti Teknologi Petronas, Universiti Putra Malaysia,  Universiti Malaysia Perlis, Universiti Teknologi MARA, Universiti Teknikal Malaysia Melaka, Universiti Sains Islam Malaysia, Multimedia University, dan Monash University Malaysia.

Antara bidang penyelidikan yang dijalankan termasuk bidang keselamatan makanan laut, pembangunan sistem air alternatif, dan kecerdasan buatan dalam teknologi robotik.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan