AM

‘Stesen Mek Awey’ bantu wujud pekerjaan bagi golongan belia

27/09/2021 04:35 PM

KOTA BHARU, 27 Sept  -- Kerajaan Kelantan menerusi Urus Setia Belia dan Sukan (UBES) akan menyediakan platform menjual makanan berkonsep bazar mini dikenali sebagai ‘Stesen Mek Awey’ bagi membantu mewujudkan pekerjaan, sekali gus menjana pendapatan golongan belia di negeri ini.

Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan dan NGO negeri Wan Roslan Wan Hamat berkata buat permulaan lima pengusaha makanan dipilih untuk menyertai program tersebut, yang akan bermula 12 Okt depan di Tunjong di sini.

“Lima vendor yang telah dipilih untuk mengetuai projek rintis bagi program ini ialah Ko-Ummah, Mr Tako, Subdepo Friend Chicken, Brew Street Coffee dan Syukor Burger.

“Menerusi program ini juga kerajaan negeri memperuntukkan sekurang-kurangnya RM2,000 hingga RM5,000 kepada vendor untuk memulakan perniagaan mereka bergantung pada keperluan, selain bantuan prasarana akan turut diberikan,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyaksikan Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) Stesen Mek Awey antara UBES, yang diwakili Pengarahnya Nasruddin Mahmud Muhaidin dengan lima vendor tersebut di sebuah hotel di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Wan Roslan berkata sekiranya inisiatif berkenaan menunjukkan impak positif dan mendapat sambutan, ia akan turut dibuka untuk pengusaha makanan baharu serta dikembangkan ke seluruh jajahan lain di Kelantan.

Menurutnya jualan makanan akan dilaksanakan secara pandu lalu dan menerusi pesanan dalam talian berikutan pandemik COVID-19 yang masih melanda, bagi mengelakkan orang ramai berkumpul.

“Kita lihat dengan adanya inisiatif ini sekurang-kurangnya ia memberi jalan keluar kepada individu yang terkesan akibat pandemik ini, apabila terjejas pendapatan dan hilang pekerjaan," katanya.

-- BERNAMA

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan