AM

Tiada kertas siasatan dibuka atas tuduhan curi wang Lembaga Tabung Haji - Ahmad Marzuk

27/09/2021 12:54 PM

KUALA LUMPUR, 27 Sept -- Tiada sebarang kertas siasatan dibuka terhadap mana-mana pihak atas tuduhan mencuri wang Lembaga Tabung Haji (LTH) yang didakwa melibatkan pengurusan tertinggi lembaga itu setakat ini, Dewan Rakyat dimaklumkan hari ini.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Ahmad Marzuk Shaary berkata ini termasuk dakwaan, kononnya siasatan dibuat terhadap Ahli Parlimen Baling Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim yang merupakan Pengerusi LTH sekitar 2013 sehingga 2018.

Ahmad Marzuk berkata demikian pada sesi soal jawab lisan bagi soalan tambahan Abdul Azeez yang mahu pengesahan dibuat selepas perkara itu menimbulkan kerisauan dalam kalangan pendeposit sehingga menyebabkan hampir 520,000 akaun ditutup pada 2018.

Menjawab soalan asal Abdul Azeez mengenai status penubuhan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) bagi menyiasat isu-isu berbangkit mengenai LTH, Ahmad Marzuk berkata ketika ini Memorandum Jemaah Menteri (MJM) bagi membincangkan operasi perlaksanaan RCI ini telah disediakan dan diedarkan bagi Jemaah Menteri.

"Ini adalah meliputi perkara seperti keahlian RCI serta aspek-aspek pengoperasian pentadbiran dan logistik melibatkan pengurusan RCI,” katanya.

Beliau turut memaklumkan bahawa mesyuarat  Kabinet sebelum ini turut memutuskan bahawa urusan RCI ini akan diurus selia oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang) dan dalam masa terdekat akan diputuskan terma dan syarat bagi RCI tersebut.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan