AM

Raja Permaisuri berkenan lawat Muzium Victoria dan Albert di UK

25/09/2021 11:44 PM

KUALA LUMPUR, 25 Sept -- Raja Permaisuri Agong Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah berkenan berangkat melawat Muzium Victoria dan Albert di United Kingdom (UK) hari ini.

Dalam lawatan selama dua jam bermula pada 11.30 pagi itu, Seri Paduka berkenan menerima sembah taklimat mengenai muzium yang menempatkan khazanah seni dan artifak reka bentuk kreativiti manusia milik Britain berusia 5,000 tahun.

Istana Negara menerusi kenyataan di laman Facebook malam ini memaklumkan turut mengiring baginda ialah isteri Pesuruhjaya Tinggi Malaysia ke United Kingdom, Nor Aini Abdul Rahman.

Lawatan ke Muzium Victoria dan Albert hari ini adalah antara atur cara Lawatan Khas Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Raja Permaisuri Agong ke UK selama 10 hari bermula 17 Sept lepas.

Usai lawatan khas itu, Seri Paduka berdua berkenan beristirahat di London bermula 27 Sept dan dijadual berangkat pulang ke tanah air pada 23 Okt.

-- BERNAMA

 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan