SUKAN

KUFC tempah slot terakhir Piala Malaysia

24/09/2021 09:36 PM

JOHOR BAHRU, 24 Sept -- Kelantan United FC (KUFC) menempah slot terakhir saingan Piala Malaysia selepas menewaskan Kuching City FC 3-1 dalam aksi terakhir Liga Premier 2021 di Stadium Majlis Bandaraya Pasir Gudang, dekat sini, hari ini.

Kemenangan itu memboleh skuad bimbingan Nazrulerwan Makmor mengetepikan PDRM FC daripada saingan Piala Malaysia musim ini dengan kelebihan jaringan selepas masing-masing berkongsi 26 mata.

Dalam saingan Piala Malaysia, KUFC akan beraksi dalam Kumpulan C bersama Kedah Darul Aman FC, Melaka United FC dan juara Liga Premier musim ini, Negeri Sembilan FC.

Skuad Sang Kijang Hijau, yang memerlukan kelebihan dua gol untuk mengecewakan PDRM FC untuk mara ke Piala Malaysia, menguasai perlawanan dan memperoleh gol pertama menerusi rembatan kencang Shaizi Iqmal Md Khirudin dalam kotak penalti pada minit ke-19.

Tanpa menunggu lama, penyerang import kelahiran Gambia Alfusainey Gassama menggandakan jaringan dua minit kemudian selepas menerima hantaran kemas daripada Mohamad Amirul Shafik Che Soh untuk mewaskan penjaga gol Mohd Iqbal Suhimi.

Turun sebagai pasukan tuan rumah, Kuching City FC  dihadiahkan sepakan penalti oleh pengadil G. Ponnggiannan pada minit ke 27 apabila Evan Wensley Wenceslaus menjatuhkan Mohamad Zainudin Bohri di kotak penalti , sekali gus menjaringkan gol pertama menerusi Michael Chukwubunna Ijezie.

KUFC mengukuhkan kedudukan selesa 3-1 apabila kapten pasukan Fakhrul Zaman Wan Abdullah Zawawi berjaya melakukan sepakan percuma dari jarak 25 meter untuk menewaskan Mohd Iqbal pada minit terakhir babak pertama.

Bersambung babak kedua, KUFC tetap meneruskan momentum untuk menambah jaringan tetapi gagal menyempurnakan peluang terhidang.

Kuching City FC, yang sudah pun layak ke Piala Malaysia, gagal melepasi benteng pertahanan pasukan lawan dalam usaha merapatkan jurang jaringan sehingga tamat perlawanan.

-- BERNAMA

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan