AM

Sultan Selangor dan Raja Muda zahir sedih atas pemergian Ken Worden

23/09/2021 06:00 PM

SHAH ALAM, 23 Sept -- Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah dan Raja Muda Tengku Amir Shah menzahirkan rasa sedih dan simpati di atas berita kematian bekas jurulatih pasukan bola sepak Selangor, Ken Worden.

Menerusi hantaran di Instagram Selangor Royal Official, Sultan Sharafuddin menzahirkan rasa dukacita dan menyampaikan ucapan takziah yang mendalam kepada keluarga mendiang Ken Worden dan menzahirkan rasa simpati yang mendalam dalam masa yang sukar ini.

Mendiang Ken Worden dilahirkan di Preston, England dan meninggal dunia kelmarin di Australia pada usia 78 tahun.

“Ketika memulakan tugas sebagai jurulatih pasukan bola sepak Selangor pada 1991, Ken Worden telah membawa pasukan Selangor menjulang kejuaraan Piala FA dan naib juara Piala Malaysia.

"Mendiang kemudiannya dilantik sebagai jurulatih pasukan kebangsaan selama dua tahun bermula Januari 1992 sehingga penghujung 1993, seterusnya kembali sebagai jurulatih Selangor pada tahun 1994 dan berjaya memimpin Selangor memenangi Piala Malaysia 1995 dan 1996," menurut hantaran tersebut.

Selepas meneruskan karier kejurulatihan bersama beberapa lagi pasukan tempatan, mendiang sekali lagi kembali bersama The Red Giants untuk menjulang Piala Sumbangsih dan Piala Malaysia pada 2002.

Di atas jasa dan bakti mendiang, Almarhum Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah Alhaj telah mengurniakan darjah kebesaran Ahli Mahkota Selangor (A.M.S) pada 1996.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan