Oleh Voon Miaw Ping
KUALA LUMPUR, 23 Sept -- Filipina terus menggunakan e-dagang dan ekonomi digital untuk mempercepat pemulihan ekonomi selepas tempoh pandemik COVID-19.
Dengan perniagaan '’brick and mortar” (secara fizikal) terjejas akibat pandemik global dan langkah-langkah pencegahan, Atase Komersial di Pusat Perdagangan dan Pelaburan Filipina di Kuala Lumpur (PTIC), Katrina Banzon berkata sektor e-dagang Filipina telah mengalami lonjakan.
"Filipina menyedari pentingnya e-dagang dan ekonomi digital sebagai kunci utama kepada pertumbuhan dan pemulihan ekonomi," katanya dalam satu temu bual dengan Bernama.
Data Jabatan Perdagangan dan Perindustrian (DTI) Filipina menunjukkan e-dagang menyumbang 3.4 peratus atau US$12 bilion (PHP599 bilion) untuk Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) 2020.
Filipina menyasarkan untuk meningkatkan pendapatan e-dagang kepada US$17 bilion (PHP850 bilion) atau 4.3 peratus daripada KDNK pada 2021 kepada US$24 bilion (PHP1.2 triliun) atau 5.5 peratus daripada KDNK pada 2022.
DTI juga menetapkan sasaran meningkatkan jumlah syarikat e-dagang sebanyak 500,000 pada 2020 kepada 750,000 pada 2021, dan meningkat ke satu juta pada 2022.
Laporan e-CONOMY SEA 2020 juga meletakkan Filipina di tangga kedua, di belakang Indonesia, untuk penerapan e-dagang paling kukuh tahun lalu.
“Filipina adalah ekonomi yang didorong pengguna. Dengan 49 juta daripada 109 juta penduduknya terdiri tenaga kerja, menjadikan pasaran domestik Filipina sangat menarik.
“Kini, pasaran pengguna mula beralih kepada mengamalkan e-dagang dan e-pembayaran yang lebih pantas berbanding sebelum ini, dengan transformasi digital berlaku di hujung kedua-dua spektrum (perniagaan dan pengguna). Potensi pasaran e-dagang, terutamanya e-dagang mudah alih, sangat besar!,” katanya.
Banzon berkata ketika ini terdapat 163.7 juta pelanggan mudah alih di negara ini, dengan 76 juta pengguna media sosial aktif, 75 juta di Facebook, 12 juta di Twitter, dan 6.7 juta di LinkedIn.
Katanya, Filipina telah berusaha untuk mempermudah penggunaan ekonomi digital.
Ini termasuk dasar peraturan dan kerangka kerja bagi menyokong bidang utama ekonomi digital, melaksanakan inisiatif konkrit yang menyediakan peluang serta ruang kepada pemegang taruh melibatkan diri dalam industri, dan digitalisasi perkhidmatan utama kerajaan.
Awal tahun ini, kerajaan melancarkan pelan Hala Tuju e-Dagang Filipina 2022 untuk memacu lagi industri e-dagang bagi mewujudkan ekosistem yang mendorong industri ini terus berkembang, pekerjaan jangka panjang, dan pertumbuhan inklusif.
Sistem Pendaftaran Nama Perniagaan (BNRS) di bawah DTI mencatatkan peningkatan ketara jumlah penjual dalam talian mendaftarkan perniagaan mereka pada tahun lalu.
Daripada hanya 1,700 nama pada suku pertama 2020, jumlah perniagaan dalam talian yang didaftarkan meningkat sekitar 88,000 pada akhir 2020.
“Sebagai bukti pasaran e-dagang yang berkembang, statistik BNRS meningkat tiga kali ganda kepada 381 peratus pada suku pertama 2021," kata Banzon.
Di peringkat serantau, Banzon berkata DTI menggalakkan perniagaan Filipina supaya menyertai platform perdagangan maya di ASEAN dan di arena antarabangsa untuk menggerakkan interaksi antara perniagaan (B2B).
Tambahnya Filipina juga tetap komited untuk meneruskan kerjasama dengan negara anggota ASEAN dalam menyokong e-dagang dan agenda transformasi digital di rantau ini, ke arah pelaksanaan Perjanjian ASEAN mengenai Perdagangan Elektronik yang disasarkan tahun ini.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial