AM

MELAKA WUJUD SEMULA INVEST MELAKA BERHAD, TINGKATKAN KUALITI PENGURUSAN PELABURAN

23/09/2021 12:57 PM

MELAKA, 23 Sept -- Kerajaan negeri Melaka mewujudkan semula Invest Melaka Berhad bagi menambah baik kualiti pengurusan aktiviti pelaburan agar dapat menarik lebih banyak pelaburan tempatan dan asing di negeri itu pada masa depan, persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka diberitahu hari ini.

Exco Kerja Raya, Pengangkutan, Kemudahan Awam dan Infrastruktur negeri Datuk Roslan Ahmad berkata syarikat berkenaan berperanan menjadi perantara antara pihak perindustrian dengan kerajaan negeri serta menguruskan aduan, masalah atau isu yang berlaku di sesuatu kawasan perindustrian.

"Kita mengambil maklum mengenai kerisauan, ketidakpuasan hati dan aduan pelabur terhadap perkara yang menyukarkan mereka untuk melabur dan sebab itulah kita mewujudkan semula Invest Melaka Berhad.

"Justeru, Invest Melaka Berhad akan menjadi pusat sehenti untuk pelabur mendapatkan maklumat atau rujukan berkaitan peluang pelaburan yang ada, sekali gus mempercepatkan proses tersebut," katanya ketika menjawab soalan tambahan Datuk Teh Kok Kiew (PH-Bandar Hilir) pada persidangan DUN di Kompleks Seri Negeri di sini. 

Terdahulu, Teh ingin tahu mengenai penambahbaikan yang dilakukan kerajaan negeri dalam usaha menarik pelaburan tempatan dan asing serta memudahkan urusan mendapatkan maklumat berkaitan peluang pelaburan di Melaka.

Mengulas lanjut, Roslan berkata Invest Melaka Berhad juga akan berperanan menjalankan aktiviti promosi bagi semua jenis pelaburan, pembangunan dan perniagaan yang ditawarkan di negeri itu selain mengemas kini data lokasi kawasan perindustrian dan infrastruktur yang disediakan menerusi sistem dalam talian agensi itu.

Menjawab pertanyaan Damian Yeo Shen Li (PH-Duyong) mengenai jumlah pelaburan asing yang berjaya dibawa masuk ke Melaka dalam tempoh Mac hingga 31 Ogos lepas, Roslan berkata maklumat berkenaan belum dikeluarkan oleh Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA).

Bagaimanapun, beliau berkata jumlah pelaburan asing yang berjaya dibawa masuk dalam tempoh enam bulan pertama tahun ini berjumlah RM3.24 bilion.

Menurut Roslan pelbagai langkah proaktif dilakukan untuk menarik lebih banyak pelaburan asing yang memberi kesan positif kepada kemakmuran ekonomi negeri, antaranya membangunkan kawasan perindustrian pada harga kompetitif, yang dilengkapi infrastruktur.

 "Kerajaan negeri melalui Perbadanan Kemajuan Negeri Melaka dan Invest Melaka Berhad turut menjalin kerjasama dengan Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri melalui MIDA bagi mengenal pasti syarikat asing dan meneroka peluang pelaburan baharu yang berpotensi melabur di negeri ini," katanya.

-- BERNAMA

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan