BERITA TERGEMPAR | Malaysia hopes ASEAN-Canada Free Trade Agreement negotiations can be concluded soonest possible for mutual benefit - PM Anwar | |
KUALA LUMPUR, 22 Sept -- Bursa Malaysia Derivatives Bhd melancarkan acara Cabaran Dagangan Maya Derivatif 2021 yang julung kali diadakan di seluruh negara dan berlangsung pada 15 November hingga 14 Disember depan, dalam usaha memacu minat mengenai pasaran itu dalam kalangan millennial.
Ketua Pegawai Eksekutif Samuel Ho berkata usaha itu sejajar perkembangan yang menyaksikan pertumbuhan kukuh dagangan derivatif sejak beberapa tahun lepas dengan jumlah dagangan meningkat kepada 18.2 juta kontrak pada 2020 berbanding 13.5 juta kontrak pada 2019 -- peningkatan sebanyak 35 peratus bagi tahun ke tahun.
“Penyertaan runcit juga meningkat kepada 32 peratus setakat Ogos 2021 daripada 25 peratus pada 2019.
“Pencapaian itu jelas menunjukkan minat ketara dalam kalangan pelabur runcit dalam usaha mempelbagaikan portfolio pelaburan yang melibatkan kelas aset alternatif seperti derivatif,” katanya dalam kenyataan pada Rabu.
Merujuk acara itu, Ho berkata cabaran itu akan mendedahkan pengetahuan asas kepada pelabur baharu untuk memulakan dagangan derivatif dengan cara yang betul.
“Setiap peserta akan bersaing dalam persekitaran simulasi menerusi Simulator Dagangan Derivatif BursaMKTPLC yang menyamai pasaran niaga hadapan secara nyata atau langsung.
“Mereka akan diberi akaun dengan modal maya sebanyak RM100,000 untuk didagangkan dalam empat produk derivatif yang ditawarkan oleh Bursa Malaysia Derivatives iaitu Niaga Hadapan Minyak Sawit Mentah (FCPO), Niaga Hadapan Indeks FBM KLCI (FKLI), Niaga Hadapan Indeks FBM Mid 70 (FM70) dan Kontrak Niaga Hadapan Sekuriti Kerajaan Malaysia (FMG5) selama 5 tahun,” katanya.
Menurutnya, 15 peserta utama dengan jumlah baki akaun tertinggi pada akhir cabaran, akan memenangi hadiah bernilai RM20,000 dengan pemenang pertama meraih hadiah wang tunai RM7,000.
Pendaftaran bagi cabaran itu akan dibuka mulai 22 September hingga 5 November, 2021 dan terbuka kepada rakyat Malaysia berusia 18 tahun ke atas.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial