SUKAN

Kemenangan ke atas TFC II buka laluan skuad Kijang Hijau ke pentas Piala Malaysia

22/09/2021 10:02 AM

KUALA TERENGGANU, 22 Sept  -- Kekalahan mengejut Terengganu FC ll (TFC ll) malam tadi memberi sinar harapan untuk pasukan Kelantan United FC (KUFC) beraksi di pentas Piala Malaysia yang bakal membuka tirainya Sabtu ini.

Bagaimanapun Ketua jurulatih KUFC Nazrulerwan Makmor berkata untuk mencapai impian tersebut, pasukannya terlebih dahulu perlu melakar kemenangan ke atas skuad Kuching City FC dalam aksi tertunda saingan Liga Premier di Stadium Majlis Bandaraya Pasir Gudang, Johor, Sabtu ini.

"Kita perlu menang besar iaitu dua atau tiga jaringan tanpa bolos ke atas Kuching City FC bagi menjamin slot di Piala Malaysia.

"Insya-Allah pemain akan beri fokus penuh pada perlawanan itu nanti dengan bertahan dan menyerang seperti biasa," katanya ketika ditemui selepas pertemuan dengan TFC ll di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, di sini malam tadi.

Pada perlawanan tersebut KUFC yang dikenali sebagai skuad Kijang Hijau berjaya menewaskan TFC ll 1-0 hasil jaringan pemain pertahanan Mohamad Hakim Ismail.

Sementara itu pengendali TFC ll Badrul Afzan Razali berkata beliau berpuas hati selepas berjaya menamatkan saingan Liga Premier di tempat ketiga musim ini.

Beliau berkata pencapaian itu adalah hasil komitmen dan semangat juang yang ditunjukkan anak buahnya sejak awal hingga akhir musim.

"Alhamdulillah sasaran kami untuk berada di kelompok tiga teratas telah tercapai. Ia adalah berkat usaha pemain yang sentiasa memberi yang terbaik walaupun berdepan banyak cabaran serta rintangan," katanya.

Dalam pada itu Badrul berkata empat pemain import dan dua pemain tempatan TFC ll akan menjalani latihan dengan pasukan 'abang', Terengganu FC (TFC) sebagai persediaan menghadapi cabaran Piala Malaysia bagi edisi ke-100.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan