KUALA LUMPUR, 21 Sept -- MyEG Services Bhd (MYEG) merancang untuk bekerjasama dengan Bubi Technologies Co Ltd, China bagi membina ‘supernodes’ berdasarkan platform blok rantai.
Projek itu akan dilaksanakan melalui syarikat usaha sama (JV) yang diperbadankan di Malaysia, yang akan dimiliki sebanyak 51 peratus oleh MYEG, gandingan tersebut akan menubuhkan ‘supernodes’ di luar China yang merangkumi Malaysia, Indonesia, dan Filipina, antara lain, untuk tempoh tiga tahun pertama.
‘Supernodes’ ini akan didasarkan kepada sistem blok rantai berprestasi tinggi yang dibangunkan oleh Bubi dan telah digunakan oleh infrastruktur blok rantai kebangsaan China, seperti yang dilancarkan baru-baru ini, kata MYEG dalam satu kenyataan.
“Supernodes ini akan menawarkan rangkaian blok rantai awam, bebas digunakan dan terbuka untuk penyertaan sesiapa sahaja selain daripada rangkaian blok rantai peribadi, yang mana penyertaan akan terhad kepada kebenaran entiti yang biasanya diperlukan dalam kes penggunaan perniagaan ke perniagaan.
"Pelancaran inovasi pada platform blok rantai oleh JV tersebut akan dilakukan secara progresif, dengan aplikasi komersial sulung disasarkan untuk pelancaran menjelang akhir tahun ini," kata MYEG.
Usaha sama ini merupakan perkembangan yang sangat tepat pada masanya, seiring dengan pengenalan Perjanjian Perkongsian Ekonomi Komprehensif Serantau (RCEP), perjanjian perdagangan bebas yang terdiri daripada 15 negara anggota, termasuk China, yang secara kolektif menyumbang 30 peratus daripada output global.
"Pengesahan asal produk dan kebolehjejakan rantaian bekalan adalah antara objektif utama RCEP," katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial