BERITA COVID–19   COVID-19: Pendapatan sektor muzium menurun, pengunjung merosot lebih 70 peratus - Nancy | 55 pelajar di Selangor yatim piatu susulan COVID-19 - Exco | Singapura sahkan dua kes import positif varian Omicron | Rusia lapor kes pertama varian Omicron | Enam lagi pelajar Maktab Mahmud Sik positif COVID-19 | 
EKONOMI

MTDC akan kongsi pengalaman pelaksanaan pendigitalan dan teknologi I4.0 oleh PMKS

21/09/2021 06:24 PM

KUALA LUMPUR, 21 Sept  -- Isu sumber manusia dalam bidang teknologi Industri 4.0 (i4.0) dan menyesuaikan diri dengan amalan standard COVID-19 oleh perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) untuk meningkatkan produktiviti dan hasil dijangka menjadi topik perbincangan utama semasa Program Kerjasama Teknikal Malaysia (MTCP) ke-14.

Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Pembangunan Teknologi Malaysia (MTDC) Datuk Norhalim Yunus berkata program itu diadakan pada masa yang tepat terutamanya dengan penurunan ekonomi akibat daripada COVID-19 ketika PMKS berada dalam keadaan bertahan, mengubah dan membina semula perniagaan mereka untuk menyesuaikan dengan situasi pandemik. 

“Dalam tempoh yang belum pernah berlaku ini, sekarang waktu yang amat mendesak bagi PMKS, tempatan dan asing untuk mempercepat penggunaan sebahagian daripada penyelesaian dan program  i4.0 mereka yang boleh ditawarkan MTDC  seperti pengukuhan sistem berautonomi, penggunaan analisis data dan keselamatan siber, antara lainnya,” katanya. 

Beliau berkata demikian dalam ucapan alu-aluannya semasa sesi pertama program MTCP ke-14 dengan tajuk “Accelerating the Adoption of Industry 4.0 in MSMEs and Technopreneurship Development in the New Normal Workshop 2021” (Mempercepat Penggunaan Industri 4.0 dalam PMKS dan Pembangunan Keusahawanan Tekno dalam Bengkel Normal Baharu 2021) bagi negara-negara Afrika.

Bengkel pertama bagi negara-negara Afrika itu yang bermula hari ini sehingga Khamis disertai tujuh peserta dari negara Gambia, Ghana dan Mauritius.

Program MTCP itu akan dijalankan dalam lima sesi bagi negara-negara panel dari ASEAN, Eropah dan Asia Tengah, Timur Tengah, Afrika, Asia Selaran dan Ocenia bermula 21 Sept hingga 29 okt, 2021. 

Norhalim berkata objektif utama program itu adalah untuk berkongsi pengalaman pembangunan Malaysia dengan negara membangun lain agar mereka boleh menyampaikan apa juga pengetahuan bagi membantu negara-negara tersebut dengan usaha pembangunan mereka sendiri.  

“Malaysia, menerusi MTCP, kekal komited kepada Kerjasama Selatan-Selatan yang merupakan elemen penting kerjasama antarabangsa bagi pembangunan yang menawarkan peluang berdaya maju bagi negara-negara membangun dalam usaha individu dan kolektif mereka untuk mencapai pertumbuhan ekonomi mampan dan meningkatkan tahap pembangunan mereka,” katanya. 

Beliau berkata bengkel itu dilihat sebagai platform untuk mempromosikan peluang perniagaan baharu menerusi akses pasaran dua hala bagi syarikat-syarikat dalam ekosistem MTDC, dan juga potensi kolaborasi dengan negara-negara yang menyertainya.  

Menjelas lanjut mengenai MTCP, Norhalim berkata acara hari ini merupakan satu lagi bukti komitmen MTDC untuk menyokong usaha kerajaan dalam menerajui perniagaan teknologi di Malaysia ketika negara bergerak menuju ke arah status negara maju. 

Menurutnya, program MTCP adalah usaha berterusan oleh kerajaan Malaysia untuk menggalakkan hubungan erat dalam kalangan negara yang menyertainya dengan objektif berkongsi pengetahuan, inovasi dan pengalaman, terutamanya dalam bidang pembangunan, pindahan, pengkomersialan teknologi dan  i4.0.

-- BERNAMA


Bernama menyediakan sumber terkini maklumat berita sahih dan komprehensif kepada umum dan agensi media. Berita kami dipaparkan di laman web www.bernama.com ; siaran BERNAMA TV: Saluran Astro 502, Saluran unifi TV 631, Saluran MYTV 121 IFLIX; dan siaran Bernama Radio di frekuensi FM93.9 bagi Lembah Klang, Johor (FM107.5), Kota Kinabalu (FM107.9) and Kuching (FM100.9).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2021 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan