AM

KOMUNITI MARITIM SABAH TINGKAT KESELAMATAN SUSULAN CUACA BURUK, MONSUN TIMUR LAUT

21/09/2021 05:19 PM

KOTA KINABALU, 21 Sept  -- Komuniti maritim di Sabah dan Labuan diminta supaya meningkatkan tahap keselamatan sebelum meneruskan sebarang aktiviti di laut atau persisiran pantai susulan cuaca buruk yang merupakan fasa permulaan Monsun Timur Laut dijangka bermula bulan depan.

Pengarah Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Sabah dan Labuan Datuk Mohd Rosli Abdullah berkata antara langkah yang boleh dibuat ialah dengan menyemak laporan kaji cuaca menerusi laman web Maritim Malaysia atau Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) sebelum keluar ke laut.

"Komuniti maritim juga diingatkan supaya sentiasa peka terhadap sebarang perubahan cuaca, selain memakai jaket keselamatan, membawa peranti pengesan kedudukan seperti Personal Locator Beacon (PBL) serta memaklumkan lokasi dan tujuan ke laut kepada ahli keluarga atau sahabat handai.

"Aspek keselamatan bot atau vesel juga harus dititikberatkan bagi mengelak sebarang kejadian yang tidak diingini daripada berlaku," katanya menerusi kenyataan hari ini.

Sementara itu, Mohd Rosli berkata untuk sembilan bulan pertama tahun ini Maritime Rescue Sub Centre (MRSC) Kota Kinabalu telah merekodkan sebanyak 36 kes operasi mencari dan menyelamat (CARILAMAT) membabitkan 114 orang yang dilaporkan hilang di perairan negeri ini.

"Daripada jumlah itu sebanyak 94 orang berjaya diselamatkan, 11 maut dan sembilan masih belum dijumpai. Semalam sahaja Pusat Operasi Zon Maritim Kudat telah menerima laporan berkaitan sebuah bot kayu yang mengalami kerosakan enjin di kedudukan sekitar 6.5 batu nautika timur Tanjung Kudat.

"Seorang lelaki, seorang perempuan bersama seorang kanak-kanak lelaki masing-masing berusia antara 7 hingga 50 tahun berjaya diselamatkan bot peronda Maritim Malaysia. Bot mangsa yang mengalami  kerosakan ditunda ke Jeti Karakit, Pulau Banggi," katanya.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan