AM

38,114 pelajar mula divaksin di Terengganu hari ini

21/09/2021 07:59 PM

KUALA TERENGGANU, 21 Sept  -- Jabatan Kesihatan Negeri Terengganu menyasarkan kesemua 38,114 pelajar Tingkatan Empat dan Lima di negeri itu selesai menerima dos pertama suntikan vaksin mereka sebelum 2 Okt ini.

Pengarah Kesihatan Negeri Datuk Dr Kasemani Embong berkata Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK) Remaja di Terengganu bermula hari ini melibatkan 56 sekolah yang dijadikan pusat pemberian vaksin (PPV) secara berperingkat.

"Selain sekolah menengah di bawah Kementerian Pendidikan (KPM), jumlah 38,114 pelajar itu juga termasuk sekolah swasta, Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) dan pusat tahfiz.

"Bagi remaja yang tidak bersekolah atau bersekolah di luar daerah pula, mereka boleh dapatkan vaksin di PPV dan 20 klinik kesihatan terpilih di setiap daerah secara jumpa terus," katanya kepada pemberita selepas meninjau proses pemberian vaksin COVID-19 kepada pelajar di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sultan Sulaiman di sini hari ini.

Turut hadir Pengarah Pendidikan Negeri Terengganu Ab Salim Ghani. Hampir 800 pelajar dari tiga sekolah iaitu SMK Padang Negara, SMK Sultan Sulaiman dan SM Agama Atas Sultan Zainal Abidin (SMAASZA) menerima suntikan dos pertama vaksin jenis Pfizer-BioNTech.

Selain itu, Dr Kasemani berkata seramai 8,000 pelajar yang mempunyai masalah kesihatan pula akan menerima vaksin apabila membuat pemeriksaan susulan di hospital dan klinik berhampiran.

"Sejak 15 Sept lepas, seramai 98 orang telah selesai menerima suntikan," katanya dan menambah maklum balas daripada ibu bapa sangat positif untuk vaksin remaja di Terengganu setakat ini.

Beberapa pelajar yang ditemui pula mengakui sangat gembira diberi keutamaan untuk menerima vaksin kerana tidak sabar mahu memulakan sesi persekolahan secara bersemuka 3 Okt nanti.

Ahmad Aleef Daniel Sukri, 17, dari SMAASZA berkata beliau berasa lebih selamat dan yakin ke sekolah kerana vaksin bertindak sebagai 'perisai' untuk kesihatan daripada ancaman virus maut itu.

"Memang tak sabar ke sekolah sebab susah juga nak ikuti PdPR (Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah)...lagipun lebih mudah belajar bersemuka bersama guru dan rakan di sekolah," katanya.

Muhammad Harith Adib Azuri, 17, pula berkata vaksin adalah ikhtiar terbaik untuk melindungi diri daripada COVID-19 setakat ini selain amalan kebersihan diri seperti yang disaran kerajaan.

"Bila dah dapat vaksin rasa lega sebab memang rindu dan teruja kembali ke sekolah untuk lebih bersedia menduduki Sijil Pelajaran Malaysia tahun depan," katanya yang mahu belajar bersungguh-sungguh untuk mendapat keputusan 11A dalam peperiksaan itu.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan