JENAYAH & MAHKAMAH

Polis mohon ekstradisi daripada pihak berkuasa Thailand bawa pulang ‘Nur Sajat’

20/09/2021 07:26 PM

KUALA LUMPUR, 20 Sept -- Polis Diraja Malaysia (PDRM) kini dalam proses memohon untuk mengekstradisi Muhammad Sajjad Kamarul Zaman, atau lebih dikenali sebagai Nur Sajat, daripada pihak berkuasa Thailand.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman Datuk Seri Abd Jalil Hasan berkata proses ekstradisi usahawan kosmetik itu melibatkan pelbagai agensi termasuk Jabatan Peguam Negara selain pihak berkuasa Thailand dan dijangka mengambil masa. 

"Kami tidak boleh menjangka bila boleh membawa pulang Nur Sajat dan apabila kita membuat permohonan, pihak berkuasa Thailand juga perlu meluluskannya bagi membolehkan dia dibawa pulang,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Beliau berkata Muhammad Sajjad, 36, telah ditahan pihak Imigresen Thailand pada 8 Sept lepas kerana memiliki pasport yang tidak sah dan dihadapkan ke mahkamah negara itu sehari kemudian atas kesalahan imigresen sebelum dikenakan hukuman denda.

"Usaha untuk membawa pulang individu berkenaan sedang giat dijalankan.

"Muhammad Sajjad turut dikehendaki di negara ini mengikut Seksyen 186 Kanun Keseksaan kerana menghalang penjawat awam dan Seksyen 353 Kanun Keseksaan kerana menggunakan kekerasan jenayah bagi menakutkan penjawat awam daripada menjalankan kewajipannya,” menurutnya dalam satu kenyataan ketika mengesahkan penahanan Nur Sajat.

Muhammad Sajjad juga diburu oleh pihak berkuasa Malaysia selepas waran tangkap terhadapnya dikeluarkan kerana gagal hadir ketika sebutan semula pertuduhan berpakaian menyerupai wanita di Mahkamah Tinggi Syariah Shah Alam, Selangor.

Pada 15 Jun lepas, polis turut menjejaki Muhammad Sajjad bagi membantu perbicaraan kes penipuan pertukaran nama dan jantina pada kad pengenalan yang sedang berlangsung di Mahkamah Ampang.

-- BERNAMA

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan