GUA MUSANG, 18 Sept -- Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB) menyasarkan masyarakat Orang Asli di negara ini akan selesai disuntik vaksin COVID-19, menjelang November depan.
Timbalan Menteri Pembangunan Luar Bandar Datuk Seri Abdul Rahman Mohamad berkata terdapat 144,180 individu masyarakat Orang Asli yang layak menerima vaksin, dan sehingga kini lebih 90,000 daripada golongan berkenaan sudah divaksinasi.
“Kita jangka, baki daripada mereka yang belum menerima suntikan akan selesai menjelang November. Kita juga telah memohon bekalan vaksin jenis CanSino sekitar 50,000 hingga 70,000 untuk masyarakat Orang Asli.
“Sekiranya kita peroleh bekalan vaksin seperti yang dimohon, kita mampu untuk menyelesaikan baki masyarakat Orang Asli yang belum disuntik pada Oktober depan,” katanya kepada pemberita di sini hari ini pada Program Vaksinasi COVID-19 Orang Asli Gua Musang di Pos Gob.
Turut hadir Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA) Sapiah Mohd Noor dan Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Kelantan Datuk Dr Zaini Hussin.
Mengenai program vaksinasi itu, katanya KPLB menerusi JAKOA turut berganding bahu dengan Kementerian Kesihatan, Jawatankuasa Petugas Khas Imunisasi COVID-19 (CITF) serta Jabatan Bomba dan Penyelamat, untuk membawa bekalan vaksin dan petugas ke perkampungan Orang Asli menggunakan empat helikopter sejak Rabu lepas sehingga hari ini.
Beliau berkata penggunaan secara optimum aset kerajaan seperti helikopter ke kawasan pedalaman itu, mampu meningkatkan kadar vaksinasi keseluruhan masyarakat Orang Asli di negara ini seperti yang dihasratkan kerajaan, menjelang Oktober ini.
“Di kawasan Pos Gob pada hari ini, jumlah penduduk Orang Asli ialah 818 manakala jumlah layak disuntik ialah 418. Jumlah awal yang setuju divaksin ialah 90 orang dan kami yakin jumlah ini akan bertambah.
“Sebanyak 200 dos vaksin CanSino yang hanya memerlukan satu dos lengkap disediakan bersama dengan petugas kesihatan secara keseluruhan, supaya mereka yang ingin mengambil dos pada hari ini akan menerimanya dengan segera,” katanya.
Ketika ditanya mengenai suntikan vaksin terhadap remaja berusia 12 hingga 17 tahun dalam kalangan masyarakat Orang Asli, beliau berkata pihaknya akan menyegerakan perkara berkenaan memandangkan alam persekolahan akan dibuka tidak lama lagi.
“Pemberian vaksin kepada golongan berkenaan amat penting memandangkan kaedah Pembelajaran dan Pengajaran di Rumah (PdPR) memberi kekangan akses internet terutamanya kepada masyarakat luar bandar,” katanya.
Beliau berkata setakat ini pihaknya mendapati kurang 20 peratus masyarakat Orang Asli yang tidak bersedia untuk menerima suntikan vaksin, mungkin disebabkan terpengaruh dengan berita tidak tepat mengenai vaksin tersebut.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial