BERITA TERGEMPAR   Malaysia hopes ASEAN-Canada Free Trade Agreement negotiations can be concluded soonest possible for mutual benefit - PM Anwar | 
 AM

ASEAN terima pakai Deklarasi Bersama Begawan, kukuhkan semula komitmen peralihan dan sekuriti tenaga

21/09/2021 10:24 AM

KUALA LUMPUR, 17 Sept -- Menteri Tenaga ASEAN menzahirkan komitmen mereka untuk mengukuhkan sekuriti tenaga dan meningkatkan peralihan tenaga ke arah tenaga rendah karbon di rantau ini semasa Mesyuarat Menteri-menteri Tenaga ASEAN (AMEM) ke-39 yang berakhir semalam dengan Brunei menjadi tuan rumah secara maya.

Menteri-menteri yang menyertai mesyuarat itu bersetuju menerima pakai Deklarasi Bersama Bandar Seri Begawan bersempena AMEM ke-39 mengenai Sekuriti Tenaga dan Peralihan Tenaga yang mengukuhkan semula komitmen dan tanggungjawab  bersama negara anggota ASEAN dalam usaha mencapai sekuriti dan peralihan tenaga. 

Menurut Kementerian Tenaga dan Sumber Asli Malaysia, deklarasi bersama itu juga mengalu-alukan kerjasama dan sokongan daripada Rakan Dialog ASEAN dan organisasi antarabangsa bagi memastikan kejayaan pelaksanaan Pelan Tindakan ASEAN mengenai Kerjasama Tenaga (APAEC) Fasa II: 2021-2025.

Dalam mesyuarat dua hari itu yang berakhir semalam, Malaysia diwakili Menteri Tenaga dan Sumber Asli  Datuk Seri Takiyuddin Hassan, kata kementerian itu dalam satu kenyataan hari ini.

Semasa mesyuarat itu, kementerian itu berkata Malaysia selaku Pengerusi Rangkaian Sub-Sektor Tenaga  Boleh Dibaharui (RE-SSN) dan Forum ASEAN mengenai Arang Batu (AFOC) juga berkongsi komitmen dan inisiatif sendiri terhadap peralihan tenaga.

Ini termasuk, mengulang komitmennya untuk memastikan kejayaan pelaksanaan kerja-kerja dirancang di bawah Fasa II APAEC, terutamanya dalam mencapai aspirasi ASEAN untuk meningkatkan kapasiti Tenaga Boleh Dibaharui (RE) dalam campuran kapasiti kuasa kepada 35 peratus menjelang 2035.

“Dalam hal ini Malaysia juga berkongsi inisiatifnya untuk pemulihan ekonomi pasca COVID-19 menerusi pelaksanaan inisiatif RE yang mewujudkan peluang pekerjaan dan membuka kemasukan pelaburan hijau.

Malaysia juga membentangkan pelan peralihan tenaga yang akan menyumbang kepada agenda penyahkarbonan industri bekalan elektrik, terutamanya dalam mencapai kapasiti sasaran tenaga boleh dibaharui negara iaitu 31 peratus menjelang 2025 dan 40 peratus menjelang 2035,” katanya.  

Menurut kementerian itu, Malaysia juga berkongsi usahanya untuk melakukan peralihan sektor elektriknya ke arah rendah karbon, dan menekankan bahawa pelan itu adalah menyeluruh, saksama dan mampu dimiliki rakyat.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan