AM

Malaysia berpeluang menjadi pemain utama industri dron

17/09/2021 01:59 PM

KUALA LUMPUR, 17 Sept  -- Malaysia mempunyai potensi menjadi pemain utama industri dron di peringkat global berikutan prapelancaran Penyelidikan dan Pembangunan Area 57 (Area 57) semalam, menurut pengasas syarikat berasaskan dron hari ini.

Pengasas Aerodyne Group Kamarul A. Mohamed dalam kenyataan hari ini berkata pembangunan Area 57 adalah perlu dalam usaha memacu ekonomi baharu melalui industri dron.

Pengasas Poladrone Cheong Jin Xi dalam kenyataan yang sama berkata Area 57 merupakan inisiatif yang baik dan mampu membuka lebih banyak peluang bagi individu yang meminati teknologi dron.

Cheong berkata dalam situasi pandemik, dron juga perlu dikomersialkan khususnya bagi tujuan khidmat penghantaran menggunakan dron bagi mengurangkan kontak. 

Sementara itu, Pengerusi Persatuan Lumba Dron Malaysia Mohd Fitri Reza berkata inisiatif ini akan menjadi sumber kekayaan baharu bagi negara dalam tempoh lima tahun akan datang.

Justeru, Mohd Fitri berharap kerajaan dapat mewujudkan pusat sehenti perkembangan industri dron di semua negeri.

Pengasas HobiKami dan Kami Kaki Dron Amirul Aizad Amiruddin pula berharap penggunaan dron akan diperluas, seterusnya meletakkan Malaysia sebagai hab dron yang berpotensi di rantau ASEAN pada masa depan.

Semalam, Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) Datuk Seri Dr Adham Baba  mengumumkan Area 57 adalah sebuah pusat kecemerlangan penyelidikan dan pembangunan serta pemerkasaan bakat yang dibangunkan oleh Taman Teknologi Malaysia (TPM) bagi memajukan perkembangan industri berfokus inovasi Unmanned Aerial Vehicle (UAV) dan Unmanned Aircraft Systems (UAS).

Area 57 adalah simbolik kepada kawasan seluas 2.03 hektar yang akan dijadikan infrastruktur bersepadu dan ‘sandbox’ dengan penyediaan tujuh nilai cadangan iaitu menyelidik, membangun, menguji, memperakui mengilang, mengkomersial dan menyelenggara penyelesaian dan teknologi dron.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan