POLIS P.PINANG SYOR NOMBOR GILIRAN UTK PPV JUMPA TERUS WARGA ASING
GEORGE TOWN, 16 Sept (Bernama) -- Pusat pemberian vaksin (PPV) secara jumpa terus bagi bukan warganegara di Pulau Pinang diminta menggunakan kaedah nombor giliran bagi mengelak kesesakan.
Ketua Polis Pulau Pinang Datuk Mohd Shuhaily Mohd Zain berkata empat PPV akan mula menawarkan suntikan vaksin COVID-19 secara jumpa terus kepada warga asing di negeri ini mulai esok, dan polis akan meningkatkan kawalan di kawasan PPV terlibat.
"Sebagai contoh jika jumlah vaksin pada hari itu hanya 500 jadi hanya 500 nombor (giliran) diberikan manakala yang tidak mendapat nombor akan diarah pulang.
"Ini bagi memastikan tidak berlaku warga asing berkumpul atau perlanggaran prosedur operasi standard (SOP) di PPV terlibat,” katanya selepas meninjau pusat membeli belah Plaza Gurney dan kawasan pantai di Pantai Miami, di sini hari ini.
Empat PPV terlibat adalah PPV SPICE Convention Centre di bahagian pulau; dan Dewan Milenium, SP Arena serta Dewan Serbaguna Sungai Bakap di seberang.
-- BERNAMA
SAMBUTAN HARI SUKAN NEGARA 2021 AKAN DIADAKAN SECARA HIBRID
IPOH, 16 Sept (Bernama) -- Pelancaran sambutan Hari Sukan Negara 2021 akan diadakan secara hibrid pada 9 Okt ini melalui portal Hari Sukan Negara.
Timbalan Menteri Belia dan Sukan Senator Datuk Seri Ti Lian Ker berkata sambutan itu akan dimeriahkan dengan pelbagai aktiviti yang turut mendapat kerjasama daripada Jabatan Belia dan Sukan (JBS) seluruh negara.
“Ini adalah pendekatan yang kita ambil kerana Hari Sukan Negara masih perlu diraikan untuk menyemarakkan semangat sukan pada rakyat Malaysia secara amnya,” katanya kepada pemberita selepas melawat Program Kempen Derma Darah anjuran Youth Gopeng sempena Hari Malaysia di Aeon Kinta City, di sini hari ini.
-- BERNAMA
KENAIKAN KADAR BANTUAN WANG IHSAN LEGAKAN PENDUDUK PAHANG - MB
KUANTAN, 16 Sept (Bernama) -- Keputusan kerajaan Persekutuan menaikkan kadar Bantuan Wang Ihsan (BWI) daripada RM500 kepada RM1,000 bagi setiap ketua isi rumah yang terlibat bencana termasuk Monsun Timur Laut melegakan ramai rakyat di Pahang yang kerap dilanda banjir pada setiap hujung tahun.
Menteri Besar Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata kerajaan negeri menyifatkan keputusan itu sebagai tanda keprihatinan kerajaan Persekutuan pimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob terhadap aspek kebajikan rakyat.
"Kenaikan (bantuan) ini ditambah dengan bantuan dihulurkan kerajaan negeri sudah tentu dapat meringankan lagi beban ditanggung rakyat yang terkesan dengan bencana itu," katanya menerusi kenyataan di sini, hari ini.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial