AM

56 premis sekitar Shah Alam setuju turun harga ayam serta-merta

16/09/2021 09:08 PM

SHAH ALAM, 16 Sept -- Sebanyak 56 premis di sekitar Shah Alam bersetuju menurunkan harga ayam serta-merta susulan pemeriksaan pejabat Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Selangor, berikutan berlaku kenaikan harga ayam yang mendadak di pasaran.

Pengarahnya Muhammad Zikril Azan Abdullah berkata susulan pemeriksaan pihaknya sejak Isnin (13 Sept) hingga semalam itu, enam lagi premis setuju secara bersyarat menurunkan harga ayam, iaitu apabila pembekal dapat menjual dengan harga borong yang lebih rendah.

“Hasil pemeriksaan mendapati peniaga ayam di sekitar Shah Alam memberi kerjasama baik untuk membuat semakan semula dan menurunkan harga jualan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata pihaknya turut mengadakan sesi libat urus bersama pihak industri ayam di sekitar Selangor untuk berbincang dan mendapatkan kerjasama berhubung harga barang kawalan itu di peringkat pengeluaran anak ayam.

“Ia bagi memastikan (harga ayam) tidak pada paras harga yang tinggi bagi mengelak berlaku tekanan harga di peringkat pemborong dan peruncit ayam ketika ini, serta diharapkan dapat memberikan perubahan situasi yang stabil di pasaran,” katanya.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan