KUALA LUMPUR, 15 Sept -- Agrobank terus komited untuk menyokong pembangunan taraf sosioekonomi rakyat Malaysia menerusi pelbagai inisiatif dan program keusahawanan yang dibangunkan khusus untuk memulihkan ekonomi serta perniagaan bagi golongan yang terkesan sepanjang tempoh pandemik COVID-19.
Penanggung Tugas Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutifnya, Khadijah Iskandar berkata sebagai sebuah Institusi Kewangan Pembangunan (IKP), fokus utama Agrobank adalah untuk mengukuhkan sektor pertanian dan membangunkan usahawan Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS).
Ia termasuk komuniti yang terpinggir dan kurang mendapat perhatian seperti golongan B40, wanita, orang kurang upaya dan asnaf, menerusi program-program pembangunan sosial yang dibentuk khas untuk memastikan nasib komuniti ini terus terjaga dan dibela, katanya dalam satu kenyataan yang dikeluarkan hari ini.
“Ini bertujuan memastikan supaya komuniti ini terus dibantu dan mampu meningkatkan status sosioekonomi semasa mereka terutamanya dalam keadaan negara yang kini beralih ke fasa endamik COVID-19,” katanya.
Beliau berkata demikian bagi mengulas kenyataan Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz yang menyarankan IKP memberikan sokongan penuh kepada negara dalam tempoh pemulihan ini dengan memainkan peranan yang strategik dan penting dengan memulih dan memelihara kapasiti perniagaan serta menyediakan pelbagai peluang.
Menurut Khadijah, Agrobank telah membantu ramai usahawan menerusi Dana Pembiyaan Mikro Kredit yang berjumlah RM350 juta menerusi Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (PENJANA) kepada komuniti agro yang terjejas akibat pandemik itu, bank itu telah menyalurkan bantuan itu pada Jun, tahun 2020.
“Setakat 31 Julai, 2021, Agrobank telah meluluskan pembiayaan sebanyak RM200.4 juta di bawah pembiayaan AgroMakanan PENJANA yang melibatkan kira-kira lebih 16,000 usahawan daripada komuniti Agro,” katanya.
Peruntukan ini telah disalurkan untuk membantu usahawan mikro yang terlibat dalam sektor agromakanan terutamanya komuniti agro dalam kategori B40 yang terjejas disebabkan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bagi menampung kos operasi perniagaan mereka dengan memberi peluang kepada usahawan mikro untuk mendapatkan modal pusingan bagi perniagaan mereka untuk memastikan kelangsungan perniagaan mereka tidak terputus.
Agrobank sentiasa terbuka untuk mendengar sebarang permasalahan dan kesusahan yang dihadapi rakyat Malaysia menghadapi tempoh sukar ini dan akan berusaha sebaik mungkin dalam menawarkan penyelesaian terbaik kepada mereka kerana impak daripada COVID-19 ini pastinya tidak mudah dihadapi oleh semua lapisan masyarakat, sama ada daripada kelompok B40, M40 mahupun T20, kata Khadijah.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial