AM

UTeM laksana PdP secara hibrid berdasarkan kesesuaian program akademik pelajar

14/09/2021 06:48 PM

MELAKA, 14 Sept -- Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) akan melaksanakan proses pengajaran dan pembelajaran (PdP) secara hibrid bersesuaian dengan program akademik yang sedang diikuti oleh pelajar bermula Oktober depan.

Timbalan Naib Canselor Penyelidikan dan Inovasi UTeM yang menjalankan fungsi Naib Canselor UTeM Prof Dr Ghazali Omar berkata pelajar yang dikategorikan berkeperluan akan diberi keutamaan seperti yang telah disenarai pendek oleh pihak fakulti sahaja dibenarkan mendaftar penginapan di kolej kediaman.   

“Bagi pelajar berkeperluan dan tinggal di luar kampus pula boleh juga mengikuti PdP secara hibrid, dalam talian atau bersemuka mengikut kesesuaian kursus yang diambil.

“Sementara itu, bagi pelajar yang tidak kembali ke kampus pula mereka masih perlu mengikuti PdP secara atas talian mengikut kesesuaian kursus yang diambil," katanya dalam kenyataan hari ini.

Ghazali berkata kemasukan ke kampus bagi tujuan PdP berkenaan termaktub kepada golongan pelajar yang telah lengkap dua dos vaksinasi COVID-19 di samping pematuhan penuh kepada prosedur operasi standard (SOP).

Dalam pada itu, beliau berkata lebih 91 peratus kakitangan UTeM telah lengkap dua dos vaksinasi dan pihaknya akan memantau lebih dekat pelajarnya untuk melengkapkan suntikan.

Menteri Pengajian Tinggi Datuk Seri Dr Noraini Ahmad hari ini dilaporkan berkata kemasukan pelajar institusi pengajian tinggi secara fizikal ke kampus akan dilaksanakan secara berperingkat bermula 15 Okt ini.

Beliau dipetik sebagai berkata ia melibatkan pelajar yang telah lengkap vaksinasi COVID-19, merangkumi semua kategori pelajar dan semua fasa Pelan Pemulihan Negara dengan keutamaan diberikan kepada pelajar berkeperluan.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan