EKONOMI

Lebih ramai PMKS bakal terlibat dalam ekonomi digital bagi tempoh lima tahun akan datang - UPE

14/09/2021 05:03 PM

KUALA LUMPUR, 14 Sept -- Kerajaan menjangkakan lebih banyak perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) akan terlibat dalam ekonomi digital untuk tempoh lima tahun akan datang di pacu oleh usaha-usaha yang akan terus dilaksanakan untuk menyokong kumpulan ini di bawah Rancangan Malaysia Kedua Belas (RMKe-12).

Pengarah bahagian K-Ekonomi, Unit Perancang Ekonomi (UPE) Jabatan Perdana Menteri Datuk Dr Suhana Md Saleh berkata pandemik COVID-19 telah memperlihatkan terdapatnya jurang dalam struktur ekonomi negara terutamanya dalam kalangan PMKS. 

“PMKS merupakan tulang belakang kepada ekonomi negara. Kira-kira 97.2 peratus daripada perniagaan yang didaftarkan di negara ini terdiri daripada PMKS. Semestinya banyak tumpuan yang akan diberikan (di RMK-12) untuk meningkatkan golongan ini.

“Kita juga sedar PMKS masih kurang berdaya saing disebabkan oleh penggunaan teknologi yang rendah, kekurangan bakat mahir serta akses yang terhad kepada pembiayaan,” katanya dalam Program Biz Malaysia terbitan RTM, hari ini.

Justeru, katanya, usaha akan terus ditumpu kepada PMKS untuk mempertingkat kemampuan golongan ini bersaing dalam arus ekonomi digital.

Suhana berkata, di bawah Rangka Tindakan Ekonomi Digital Malaysia, kerajaan menyasarkan sebanyak 875,000 PMKS menerima guna e-Dagang.

“Kebanyakan PMKS ini kita dapati masih kurang menerima guna teknologi digital, disebabkan antaranya, kurang kesedaran, kos yang tinggi untuk adaptasi dan kurang kemahiran berkaitan penggunaan teknologi digital,” katanya.

Menurutnya, perniagaan hari ini banyak menggunakan teknik pemasaran digital dan platform e-Dagang untuk meningkatkan jangkauan pasaran. 

“Berikutan pandemik COVID-19, kita juga mendapati penggunaan teknologi digital telah menjadi satu  keperluan, bukan lagi sebagai satu pilihan. Rakyat dan perniagaan terpaksa beralih kepada aktiviti dalam talian, yang telah menjadi sebahagian daripada norma baharu.

“Peralihan ini penting bagi memastikan kelangsungan aktiviti ekonomi dan kehidupan seharian,” kata Suhana.

RMKe-12 bakal dibentangkan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob di Dewan Rakyat pada 27 September ini.

-- BERNAMA

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan