EKONOMI

Standard Chartered lancar kemudahan pembiayaan perdagangan hijau yang pertama

13/09/2021 06:34 PM

KUALA LUMPUR, 13 Sept -- Standard Chartered telah melaksanakan kemudahan pembiayaan perdagangan hijau pertamanya untuk menyokong Amplus Energy Solutions FZE, anak syarikat Amplus Solar dalam perniagaan penjanaan solarnya.

Amplus Solar, ahli kumpulan Petronas adalah syarikat tenaga terkemuka di Asia yang menyediakan penyelesaian tenaga rendah karbon kepada pelanggan industri dan komersialnya.

"Kemudahan ini merupakan pencapaian penting untuk pelaksanaan amalan kelestarian di seluruh ekosistem dan dalam membangunkan rantaian bekalan yang lebih berdaya tahan," kata Standard Chartered Malaysia dalam satu kenyataan.

Cadangan Pembiayaan Perdagangan Mampan yang baru diperkenalkan oleh kumpulan perbankan itu di Malaysia yang mengambil pendekatan mesra alam kepada seluruh produk kewangan perdagangan, membolehkan bank itu menyokong barangan, pembekal, pengguna akhir yang mampan serta industri.

Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Amplus Solar Sanjeev Aggarwal syarikat itu yakin dapat mengembangkan lagi jejak hijaunya ke seluruh wilayah baru dan menyokong syarikat dalam mencapai matlamat kemampanan mereka menerusi kemudahan pembiayaan hijau tersebut.

Sementara itu, Pengarah Urusan dan CEO Standard Chartered Malaysia Abrar A. Anwar berkata pembiayaan perdagangan mempunyai peluang besar untuk membantu membuat aktiviti rantaian bekalan global lebih mampan dengan menawarkan syarikat penyelesaian yang mereka perlukan untuk memenuhi matlamat amalan Alam Sekitar, Sosial dan Tadbir Urus (ESG) mereka.

Menurutnya Pertubuhan Perdagangan Dunia (WTO) menganggarkan pembiayaan perdagangan itu adalah berjumlah kira-kira US$19 trilion.

"Cadangan Pembiayaan Perdagangan Kemampanan baru kami akan membantu syarikat membina rantaian bekalan yang lestari dan berdaya tahan, ketika kami berusaha untuk mendorong modal ke arah hasil pembangunan yang lebih lestari," katanya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan