EKONOMI

Mah Sing kongsi harapan Belanjawan 2022, sasar pembeli rumah pertama

13/09/2021 06:06 PM

KUALA LUMPUR, 13 Sept  -- Mah Sing Group Bhd berharap kerajaan dapat memperkenalkan inisiatif tambahan untuk meringankan kepemilikan kediaman bagi pembeli rumah pertama dan mempercepatkan pemulihan industri hartanah sebagai sebahagian daripada senarai permintaannya untuk Belanjawan 2022 yang akan dibentangkan di Parlimen menjelang 29 Oktober depan.

Pemaju hartanah itu dalam satu kenyataan hari ini menjelaskan langkah-langkah yang dipertingkatkan untuk meringankan kepemilikan rumah bagi pembeli rumah pertama, mengkaji kriteria baharu program Rumah Kedua Malaysia (MM2H) dan ambang minimum yang lebih rendah untuk pemilikan hartanah asing sehingga RM5,000 adalah antara item dalam senarai permintaannya.

Pengasas dan Pengarah Urusan Kumpulan Tan Sri Leong Hoy Kum mencadangkan agar kerajaan menawarkan lebih banyak langkah yang disasarkan kepada pembeli rumah pertama, khususnya dalam pembiayaan rumah bagi meningkatkan kepemilikan rumah.

“Ini termasuk mengembalikan jangka masa pinjaman maksimum hingga 40 tahun yang merujuk kepada pendapatan kasar dan bukannya pendapatan bersih untuk permohonan pinjaman, nisbah perkhidmatan hutang yang lebih baik serta menetapkan margin pembiayaan yang lebih tinggi hingga 100 peratus untuk pembeli hartanah pertama dalam kumpulan M40 dan B40 yang terjejas semasa pandemik,” katanya.

Kerajaan juga diharapkan dapat mempertimbangkan kemungkinan melaksanakan skim tanggungan faedah pemaju (DIBS) untuk pembeli rumah pertama, kerana ini akan membolehkan mereka mempunyai opsyen tidak membayar bunga pinjaman dan sewa mereka semasa fasa pembinaan .

“Selain itu, kami mencadangkan agar kerajaan melanjutkan Kempen Pemilikan Rumah (HOC) untuk satu tahun lagi.

"Kempen tersebut terbukti penting dalam membantu pembeli rumah sambil mengurangkan keadaan hartanah tidak terjual sejak dilancarkan," katanya.

Leong ketika mengulas mengenai program MM2H memberitahu beberapa cadangan kepada kerajaan telah diajukan seperti menurunkan kelayakan pendapatan minimum, kecairan aset dan simpanan tetap berbanding kenaikan drastik yang berlaku sekarang.

Cadangan lain adalah mengenakan kelas permohonan yang berlainan, penyesuaian program berkenaan dengan pemohon asing yang bebeza, semua pemegang pas MM2H sedia ada tidak sewajarnya dikenakan peraturan baharu dan jangka masa pas atau visa MM2H dikekalkan kepada 10 tahun.

Sementara itu, Leong mencadangkan agar kerajaan menurunkan ambang minimum pemilikan hartanah asing kepada RM600,000, walaupun ambang minimum semasa untuk pemilikan hartanah asing adalah berbeza-beza menurut negara.

“Kami berharap kerajaan dapat mengkaji dan menyeragamkan ambang minimum hingga RM600,000 di semua negeri, terutama di kawasan yang mempunyai tompokan hartanah tinggi seperti Lembah Klang, Johor dan Pulau Pinang.

"Dengan kadar mata wang semasa, ia akan menarik orang asing untuk melabur dalam pelaburan ketara dan ini akan membantu mengurangkan hartanah yang tidak terjual," katanya.

 

Item lain dalam senarai permintaan itu adalah untuk menghentikan cukai keuntungan harta tanah (RPGT) ke atas hartanah yang dijual setelah lima tahun sebagai dorongan bagi meningkatkan pasaran sekunder, mengurangkan kos pematuhan untuk menurunkan harga rumah bagi memberi manfaat kepada pembeli termasuk juga untuk memperkenalkan insentif ke arah pembangunan yang memasukkan ciri-ciri kelestarian.

-- BERNAMA

 

 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan