SUKAN

Nazim catat kemenangan pertamanya dalam EuroFormula Open di Austria

12/09/2021 11:59 PM

KUALA LUMPUR, 12 Sept  -- Pelumba Malaysia Nazim Azman memenangi perlumbaan pertamanya dalam EuroFormula Open yang berlangsung di litar Red Bull Ring, Austria hari ini.   

Dalam dua perlumbaan yang berlangsung, Nazim yang mewakili Pasukan  CryptoTower Racing  menamatkan perlumbaan di kedudukan keenam dalam perlumbaan pertama yang berlangsung pada tengah hari dan kemudian memenangi perlumbaan kedua pada sebelah petang selepas mencatatkan masa 34 minit 0.256 saat (s).  

Ketinggalan 0.732 saat di belakang Nazim di tempat kedua, Cem Bolukbasi pelumba Turki daripada pasukan Van Amersfoort Racing sementara rakan sepasukannya Louis Foster dari Great Britan di tempat ketiga dengan catatan masa  34:2.250s.

“Sememangnya, ia satu permulaan yang baik. Ia amat mencabar dan Cem sememangnya amat pantas dan saya berfikir perkara utama ialah tidak melakukan sebarang kesilapan dan ia berbaloi.  Foster juga menghadapi persaingan sengit daripada Cameron (Cameron Das daripada pasukan Motopark).  Jadi tinggal hanya saya dan Cem berdua (untuk tempat pertama). Secara keseluruhannya saya gembira  dengan keputusan ini,” kata Nazim dalam satu kenyataan.

Selepas 17 perlumbaan, Nazim kini berada di tangga keempat dengan 208 mata sementara Foster mendahului dengan 257 mata diikuti Das dengan 255 mata, Jack Crawford 218 mata di tangga ketiga.

Sementara perlumbaan ketiga di Red Bull Ring dijadualkan berlangsung malam ini. 

Baki dua lagi pusingan akan diadakan di litar Monza, Itali dan Barcelona, Sepanyol.

Sementara itu, kejayaan Nazim mendapat perhatian Menteri Belia dan Sukan Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu di laman Twitter rasminya.

“Nazim Azman daripada Team Crypto Tower merebut kemenangan siri pertamanya di perlumbaan EuroFormula di Red Bull Ring, Austria. Tahniah!! #malaysiaberbangga,” katanya.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan