AM

Lelaki lemas terjatuh dalam tasik ketika mendaki

11/09/2021 07:25 PM

JOHOR BAHRU, 11 Sept -- Seorang lelaki ditemukan lemas selepas dipercayai terjatuh ke dalam tasik ketika sedang mendaki bukit di sekitar Tasik Hijau, Bukit Lunchu, di sini hari ini.

Komander Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Pasir Gudang Timbalan Penguasa Bomba II Ibrahim Omar berkata mayat Mohd Faiz Daniel Maula Mohd Nor, 26, ditemukan di kedalaman 12 meter tasik berkenaan pada pukul 2.45 petang.

Katanya terdahulu 15 anggota termasuk Pasukan Penyelamat di Air (PPDA) dan tiga jentera dikejarkan ke lokasi kejadian sebaik menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada pukul 10.22 pagi.

Menurutnya lelaki itu mendaki bukit bersama lima hingga enam rakannya, dan berdasarkan maklumat daripada saksi di tempat kejadian, dipercayai terdapat satu batu terjatuh dari atas dan menghempap Mohd Daniel, menyebabkan dia terjatuh ke dalam tasik berkenaan.

“Operasi pencarian dilakukan di sekitar persisiran tasik dan mayat ditemukan di kedalaman 12 meter di tasik itu oleh pasukan khas PPDA kira-kira 30 kaki daripada tempat dia dipercayai terjatuh,” katanya dalam kenyataan.

Beliau berkata mayat diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya dan operasi ditamatkan pada pukul 3.30 petang.

-- BERNAMA

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan