AM

COVID: Penutupan sementara Kompleks LKIM Pulau Kambing tidak jejas bekalan ikan Terengganu

09/09/2021 07:57 PM

KUALA TERENGGANU, 9 Sept -- Penutupan sementara Kompleks Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) Pulau Kambing di sini selama tujuh hari bermula Selasa lepas ekoran penularan COVID-19, tidak akan menjejaskan bekalan ikan di pasaran tempatan.

LKIM dalam satu kenyataan hari ini berkata bekalan ikan adalah mencukupi dan konsisten dengan permintaan walaupun operasi di kompleks itu terpaksa dihentikan hingga 14 Sept depan. 

"Setakat ini masih terdapat 40 buah vesel yang belum berlabuh untuk mendaratkan ikan terdiri dari vesel pukat tunda dan vesel bubu. LKIM dengan kerjasama agensi berkaitan seperti Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT), Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), Majlis Keselamatan Negara (MKN) Terengganu serta beberapa agensi penguat kuasa komited dalam memastikan bekalan tidak terganggu.

"Oleh itu, kita telah menyediakan alternatif yang sesuai mengikut prosedur operasi standard (SOP) yang telah ditetapkan kepada nelayan untuk mendaratkan ikan di jeti lain seperti di jeti kompleks LKIM Chendering, Marang dan Dungun," menurut kenyataan itu.

Selain itu, LKIM turut menyediakan ikan segar sejuk beku dari enam Pusat Pengumpulan dan Pengedaran Ikan Air Tawar (CCDC) di seluruh Terengganu iaitu di Chendering, Paka, Kemasik, Kijal, Seberang Kastam dan Kuala Nerus.

Menurut kenyataan itu, pusat CCDC biasanya digunakan untuk menyimpan ikan bagi proses sejuk beku sekiranya berlaku lebihan ikan dan akan dikeluarkan sekiranya terdapat keperluan sepertimana penutupan LKIM Pulau Kambing.

"Selain itu, dua pasar nelayan di sekitar Kuala Terengganu iaitu di Pengkalan Maras dan Chendering turut mendapat bekalan ikan secara terus dari vesel yang mendarat di jeti lain sekitar Terengganu termasuk daripada vesel nelayan kategori Zon A sampan fiber. 

"Konsep pasar nelayan adalah menjual ikan segar secara terus dari nelayan kepada pengguna dalam usaha memastikan harga penawaran tidak melambung dan berpatutan," menurut kenyataan itu.

Kompleks LKIM Pulau Kambing merupakan pusat kegiatan ekonomi setempat yang produktif dan dilengkapi pelbagai kemudahan seperti jeti pendaratan, ruang lelong dan pasar borong. 

Selasa lepas, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mengeluarkan notis perintah tutup premis terhadap kompleks tersebut bagi menjalankan kerja-kerja membasmi kuman dan perebakan penyakit berjangkit.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan