EKONOMI

MATRADE AKAN PROMOSI JENAMA MALAYSIA DI CAEXPO 2021

08/09/2021 09:49 PM

KUALA LUMPUR, 8 Sept -- Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE) akan mengetuai dan menyelaraskan penyertaan 58 syarikat Malaysia untuk mempromosikan produk dan perkhidmatan buatan Malaysia di Ekspo China-ASEAN ke-18 (CAEXPO) 2021 yang berlangsung dari 10 hingga 13 September.

CAEXPO adalah antara pameran utama yang disokong oleh kerajaan China, ia kembali dianjurkan tahun ini dalam mod hibrid iaitu secara fizikal dan maya untuk kali kedua.

MATRADE, agensi di bawah Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) itu dalam satu kenyataan dikeluarkan berkata berkata Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob akan menyampaikan ucapannya secara maya, semasa upacara pembukaannya pada 10 September.

Tema CAEXPO tahun ini adalah ‘Advancing Quality BRI Cooperation, Promoting Sustainable Development,’ yang disasarkan untuk memanfaatkan Tahun Pembangunan Mampan China-ASEAN dan memberikan pembangunan hasil ekonomi yang lebih praktikal serta memperkukuhkan hubungan China-ASEAN.

Ketua Pegawai Eksekutif MATRADE, Mohd Mustafa Abdul Aziz berkata CAEXPO telah menjadi platform penting dalam meningkatkan perdagangan dua hala sejak penubuhannya.

"CAEXPO telah berkembang sejak beberapa tahun lepas seiring dengan pencapaian dicatatkan menerusi hubungan perdagangan dua hala antara Malaysia dan China. Ini juga memastikan ia kekal relevan bagi  syarikat Malaysia untuk mengakses pasaran China dan ASEAN serta negara-negara yang terlibat dalam Inisiatif Jalur dan Laluan (BRI),” kata Mohd Mustafa dalam satu kenyataan hari ini.

Sebanyak 39 syarikat Malaysia akan mengambil bahagian dalam mod hibrid manakala 19 syarikat akan mengambil bahagian dalam pameran tersebut yang merangkumi syarikat dari Majlis Pembangunan Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECERDC). 

Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI), Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA), Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) dan Education Malaysia (EM) akan menubuhkan kaunter maklumat mereka di Pavilion Malaysia fizikal di Konvensyen Antarabangsa Nanning dan Pusat Pameran (NICEC).

Bersama dengan CAEXPO, MATRADE akan terus bekerjasama dengan China Construction Bank (CCB) untuk menganjurkan Sesi Mesyuarat Perniagaan B2B China-Malaysia kali ketiga pada 11 Sept, 2021.

"Kami juga bekerjasama dengan Overseas Prominent Brands (OPB) untuk mengatur sesi pertemuan perniagaan dan sesi penstriman langsung dengan Key Opinion Leaders (KOL)," katanya.

Malaysia telah menjana jualan sebanyak RM511.66 juta pada CAEXPO 2020 dan Malaysia Pavilion telah menerima tiga anugerah utama, iaitu, Hasil Perdagangan dan Ekonomi Terbaik, Penganjur Perdagangan Terbaik untuk Perniagaan Dalam Talian dan Penganjur Pelawat Perdagangan Terbaik.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan