EKONOMI

Aurelius ambil alih Pusat Perubatan Nilai

06/09/2021 11:20 PM

KUALA LUMPUR, 6 Sept  -- Aurelius Healthcare Sdn Bhd (Aurelius), yang berhasrat untuk menjadi platform pengurusan penjagaan kesihatan terkemuka di rantau Asia Tenggara, mengambil alih hospitalnya yang pertama, Pusat Perubatan Nilai yang bercirikan multidisiplin dan dilengkapi 100 katil. 

Dalam kenyataan hari ini, penggiat penjagaan kesihatan baharu negara itu berkata pengambilalihan tersebut merupakan langkah yang amat bersesuaian dengan strateginya untuk mentransformasikan penyampaian penjagaan kesihatan dan mencapai hasil yang terbaik bagi kesihatan para pesakit.

Pengasas dan Pengarah Urusan Kumpulan Datuk Amir Firdaus Abdullah berkata hospital itu akan dijenamakan semula sebagai Aurelius Hospital Nilai. 

“Ia akan terus memberikan perkhidmatan kepada komuniti di Negeri Sembilan, Selangor dan Melaka serta akan ditransformasikan sepenuhnya bagi Penjagaan Onkologi, Kardiologi, Penjagaan Wanita & Kanak-kanak, Ortopedik dan semua pengkhususan klinikal sebuah hospital tertiari lain untuk para pesakit pada setiap tahap kehidupan mereka. 

“Terdapat rancangan bagi pengembangan pesat hospital dengan blok perubatan pesakit dalaman tambahan untuk menyediakan penjagaan dan sokongan yang terbaik kepada pesakit serta penjaga,” katanya.

Pada Mei lepas, Navis Capital Partners telah menyempurnakan pelaburan majoriti dalam Aurelius Healthcare dan komited terhadap usaha pengembangan organisasi dengan matlamat untuk memiliki 5-10 hospital yang pesat beroperasi dalam platform.  

Edwin Fua, Rakan Kongsi di Navis Capital berkata Aurelius dan Navis berkongsi wawasan yang sama tentang bagaimana penjagaan kesihatan swasta dapat memberikan perkhidmatan yang lebih baik kepada komuniti di rantau ini. 

“Menerusi amalan pengurusan penjagaan kesihatan bertaraf dunia, interaksi bersama pelbagai pihak berkepentingan mengenai matlamat yang dikongsi bersama, penyepaduan penjagaan dan pelaburan dalam teknologi perubatan, kami akan mewujudkan penjagaan kesihatan yang lebih mudah diakses untuk komuniti kita,” katanya.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan